TANAH MERAH: Tentera Darat Malaysia (TDM) menumpaskan aktiviti penyeludupan lembu di sempadan Malaysia-Thailand pada 19 Ogos lalu.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan rasmi, berkata kejadian tersebut berlaku di sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).
Bertindak berdasarkan maklumat perisikan yang diperoleh, pasukan beroperasi berjaya mengesan tiga orang awam sedang melaksanakan aktiviti penyeludupan lembu di tebing Sungai Golok berdekatan sempadan Malaysia-Thailand, pada 19 Ogos lalu kira-kira jam 7.00 malam.

Ketika serbuan, ketiga-tiga orang awam tersebut melarikan diri dengan menyeberangi Sungai Golok ke arah negara Thailand dan meninggalkan 17 ekor lembu di sempadan sebelah Malaysia dengan anggran rampasan sebanyak RM 85,000.00
Satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Nibong, Tanah Merah manakala haiwan rampasan diserahkan kepada pihak MAQIS Rantau Panjang manakala Kes Penyeludupan ini akan disiasat oleh Kastam Diraja Malaysia, ICQS Bukit Bunga untuk tindakan selanjutnya.

TDM akan terus komited bagi memastikan keselamatan di sempadan negara dan tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.
-IMedikelTV.






