Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KUALA LUMPUR:Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membongkar kegiatan sindiket persundalan membabitkan warga asing menerusi operasi khas “Ops Gegar” di sebuah premis rumah kedai empat tingkat di sekitar Kota Raya, Jalan Tun Siew Sin, Isnin lalu.
Operasi yang bermula jam 3.30 petang itu dilaksanakan sepasukan pegawai pelbagai pangkat bersama Pasukan Taktikal Khas (PASTAK), Bahagian Perisikan dan Operasi Khas serta pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Serbuan dijalankan hasil risikan selama sebulan oleh PASTAK sebelum pasukan operasi digerakkan ke lokasi terbabit.
“Dalam operasi itu, seramai 29 individu diperiksa membabitkan 27 warga asing dan dua warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 24 warga asing ditahan membabitkan sembilan wanita warga Indonesia, tujuh wanita warga Bangladesh, lima lelaki warga Bangladesh serta masing-masing seorang lelaki warga Nepal, Indonesia dan Myanmar,”menurut kenyataan itu.
Bagi membantu siasatan lanjut, JIM turut mengeluarkan lima saman saksi terhadap dua lelaki warga tempatan dan tiga lelaki warga Bangladesh yang berada di premis berkenaan.
Menurut JIM, sindiket terbabit dipercayai menjalankan aktiviti persundalan yang menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga asing dan tempatan.
“Modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan seks secara terus kepada pelanggan melalui penjaga premis yang beroperasi di tingkat tiga dan empat bangunan berkenaan.
“Perkhidmatan itu ditawarkan pada kadar antara RM80 hingga RM120 bagi setiap sesi selama 15 minit,”jelas kenyataan itu.
Bagi melancarkan operasi, wanita-wanita terbabit dijadualkan bekerja mengikut dua syif iaitu syif siang dari jam 10 pagi hingga 8 malam dan syif malam dari jam 8 malam hingga 5 pagi.
“Premis haram itu juga dikawal ketat bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.
“Pengurusan dalaman premis dikendalikan seorang warga asing yang dikenali sebagai “Captain”, manakala kawasan luar dipantau seorang lelaki tempatan dikenali sebagai “Abang Long Kawasan” bagi menyaring serta memantau pergerakan pelanggan.
“Selain kawalan fizikal dan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), sindiket berkenaan turut memilih lokasi berhampiran stesen bas yang sentiasa sibuk bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa,”menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, Pegawai Risik PASTAK berjaya menembusi sistem kawalan sindiket dan memperoleh maklumat taktikal penting sehingga membawa kepada kejayaan operasi tersebut.
“Dalam serbuan itu, pasukan operasi turut menyita beberapa barang bukti termasuk buku 555 milik wanita yang ditahan, kondom, minyak pelincir serta set CCTV yang dipercayai digunakan untuk tujuan pemantauan keselamatan premis,”menurut kenyataan.
Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 atas kesalahan tiada dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa dan menyalahgunakan pas dimiliki.
JIM menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen, Akta Pasport 1966 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
IMedikel TV






