Home Buletin Semasa NASI GORENG DAGING KATOK LEGASI 50 TAHUN, KEKAL RELEVAN HINGGA KINI

NASI GORENG DAGING KATOK LEGASI 50 TAHUN, KEKAL RELEVAN HINGGA KINI

1389
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Berbekalkan resipi warisan keluarga sejak lebih 50 tahun lalu, seorang wanita nekad meneruskan legasi arwah ayahnya dalam menyajikan menu istimewa nasi goreng daging katok yang kini terus menjadi kegemaran ramai.

Menurut Adni Che Hashim, 41, resipi unik itu diwarisi daripada arwah ayahnya, Che Hashim Che Ismail, yang memulakan perniagaan sejak tahun 1973.

“Resepi nasi goreng daging tumbuk ini memang daripada arwah ayah sejak lebih 50 tahun lalu. Selepas pemergian arwah pada 2004, saya nekad sambung tradisi ini. Saya minta ibu, Zainab Che Deraman, 75, untuk ajar resipi sebenar,” katanya ketika ditemui kru IMedikel TV di kedainya di Kampung Kelar, di sini, semalam.

Adni berkata, bagi mengekalkan rasa asli seperti air tangan arwah ayahnya, dia masih menggunakan sukatan sudu peninggalan arwah manakala dia turut menggunakan tempurung kelapa sebagai sukatan nasi.

Menurutnya setiap hari, dia menggunakan kira-kira 10 kilogram daging dan 10 kilogram beras untuk penyediaan nasi goreng daging katok.

“Daging akan digoreng dalam ketulan besar dahulu, kemudian dihiris nipis dan ditumbuk menggunakan lesung batu sebelum digoreng. Sebab itu kita panggil daging katok, sebab proses dia kena tumbuk terlebih dahulu,” jelasnya.

Katanya menu itu dihidangkan bersama kuah sup dan sambal lada, dan menjadi pilihan utama pelanggan sejak lebih dua dekad lalu.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, dia amat berbangga kerana resipi itu kekal relevan dan digemari sehingga kini sejak dia mengambil alih perniagaan itu sejak 20 tahun lalu.

Antara pelanggan setia ialah Pian Bundle, yang sudah menikmati menu itu lebih 20 tahun.

“Nasi goreng daging katok ni memang tak ada tempat lain. Dalam seminggu, dua tiga kali saya mesti datang. Daging katok ni lain macam rasa dia.

“Saya makan dari zaman kedai lama di Lemal, sekarang dah pindah ke Kelar tapi rasa dia tetap sama,” katanya.

Nasi goreng daging katok dijual pada harga RM10 sepinggan.

Selain itu, kedai Adni juga menawarkan nasi putih bersama daging katok dan sup, mi rebus, mi goreng, kuetiau rebus dan kuetiau goreng.

Kedai tersebut dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 5 petang, kecuali Jumaat.

Namun, sebagai peringatan, kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti gout, pesakit kanser tertentu, pesakit buah pinggang, pesakit hati anda dinasihatkan untuk mengurangkan atau mengelakkan daripada pengambilan daging.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here