KUALA LUMPUR: Penyampai radio, pelawak juga pengacara, Nabil Ahmad berharap perancangannya untuk membina madrasah di tanah rumah pusaka keluarga di Mambau, Negeri Sembilan dapat disiapkan segera dan boleh beroperasi tahun depan.
Memetik laporan Harian Metro, Nabil, 42, ditemui berkata, keputusan mahu membina madrasah itu dibuatnya sebagai usaha memenuhi impian ibu tercinta, Rohaizah Abdul Latiff, 77, untuk amal jariah serta bekalan di akhirat.
“Dianggarkan kos pembinaan bagi madrasah itu dijangka menelan belanja kira-kira RM500,000. Jadi, semoga urusan pembinaannya berjalan lancar dan boleh mula beroperasi (madrasah) pada tahun depan.
“Sebenarnya, emak saya yang hendak madrasah itu dibina untuk menempatkan anak-anak yatim belajar agama, termasuk ustaz yang mengajar nanti. Bagi emak, biarlah pahala amal itu terus mengalir selamanya.
“Apatah lagi, dia (emak) pun sekarang ini kurang sihat dan sudah lapan tahun menjalani rawatan dialisis buah pinggang. Jadi, emak memang risau sebab usianya semakin lanjut,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Nabil lagi, sebagai anak lelaki semestinya dia juga mahu buat sesuatu untuk bekalan akhirat, selain ingin menyempurnakan hajat murni ibunya itu.
“Impian saya sendiri, kalau boleh mahu emak dapat melihat proses pembinaan madrasah berkenaan dan kalau dipanjangkan umur, semoga emak sempat tengok ia (madrasah) beroperasi.
“Alhamdulillah, ada juga tanah pusaka peninggalan keluarga di kampung seluas hampir satu setengah ekar. Jadi, saya cuba memanfaatkannya untuk pembinaan madrasah itu dengan melengkapkan penempatan pelajar tahfiz dan ustaz yang mengajar,” katanya.
Terdahulu, Nabil baru-baru ini ada membuat perkongsian di akaun media sosialnya menerusi luahan hasrat mahu menjadikan rumah milik keluarganya sebagai madrasah.
Justeru, difahamkan perkongsian Nabil itu mendapat pelbagai reaksi positif daripada pengikutnya dan netizen yang mendoakan agar perancangan itu akan berhasil dan jadi kenyataan. – HMetro Online –
IMedikel TV






