LONDON: Manchester United perlu kembali berada di landasan kemenangan pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Wolves di laman sendiri, Sabtu ini.
The Reds kini berada dalam tekanan untuk berada dalam kelompok empat teratas liga, selepas tewas di tangan Brighton dan Hove Albion serta West Ham United, namun masih mempunyai masa untuk melakukan persiapan menjelang kunjungan lawan di Old Trafford.
Tiga mata pada perlawanan menentang anak buah Julen Lopetegui bakal membantu United kembali di landasan tepat untuk mara ke Liga Juara-Juara musim depan dan terdapat kemungkinan Alejandro Garnacho bakal kembali bersama pasukan itu.
Pemain berusia 18 tahun itu direhatkan sejak perlawanan menentang Southampton pada Mac lalu kerana mengalami kecederaan buku lali.
Walaupun telah dipanggil semula ke dalam skuad khidmat pemain sayap itu yang berada di bangku simpanan masih tidak digunakan di Stadium London pada Ahad lalu.
Raphael Varane turut dikecualikan kerana kecederaan bersama rakan di bahagian bek tengah, Lisandro Martninez. Pemain Argentina itu pasti diketepikan sehingga penghujung kempen kerana menjalani pembedahan kaki.
Tom Heaton, Donny van de Beek dan Scott McTominay juga berada dalam senarai kecederaan ketika United menghampiri penghujung kempen liga.
Pengendali United, Erik ten Hag menyenaraikan semula Wout Weghorst dalam barisan kesebelasan utama ketika menentang West Ham, dengan pemain simpanan Anthony Martial dimasukkan pada babak kedua dan beberapa kali hampir meledak gol.
Christian Eriksen kembali berada di bahagian tengah menggantikan Fred dan Ten Hag pastinya sudah mempunyai perancangan terbaik menjelang perlawanan bertemu Wolves.
United mempunyai kelebihan satu mata di hadapan Liverpool di tangga kelima dengan kurang satu perlawanan.
Sumber BH Online & AGENSI
Imedikel TV






