Home Sukan MESTI BAWA PULANG EMAS OLIMPIK – MOM

MESTI BAWA PULANG EMAS OLIMPIK – MOM

159
0

KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia tidak mempunyai pilihan selain memenuhi sasaran satu pingat emas ditetapkan di Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nazifuddin Najib, berkata beliau tidak terkejut dengan sasaran satu emas yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh buat kontinjen negara di Olimpik Paris kali ini.

Katanya, penting untuk atlet menamatkan penantian memenangi emas sulung di temasya terbesar dunia itu bagi membuktikan keberkesanan program Road to Gold (RTG).

“Sasaran satu emas adalah bagi membuktiken keberkesanan program RTG yang mana kerajaan sudah melabur untuk kita memenangi emas.

“Jadi, mahu atau tidak kita perlu memenuhi sasaran satu emas itu. Namun, untuk berlaku adil, program RTG juga adalah program yang dirangka untuk persiapan negara menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

“Jadi, sasaran satu emas itu sememangnya sudah dijangka. Sama ada kita boleh capainya atau tidak, ia bergantung kepada prestasi atlet pada hari pertandingan nanti,” kata Nazifuddin ketika sidang media selepas menerima penajaan daripada MILO buat kontinjen negara ke Paris di sini, hari ini.

Program RTG yang diperkenalkan pada Mac tahun lalu adalah program khas buat atlet elit negara dengan objektif untuk menyelaras usaha negara bagi merealisasikan misi memenangi emas pertama di Sukan Olimpik.

Ia memberi tumpuan kepada program persediaan atlet elit meliputi latihan harian, latihan di luar negara termasuk lebih pendedahan kepada pertandingan dalam dan luar negara, penyediaan khidmat jurulatih, kakitangan sokongan, perkhidmatan sains sukan dan perubatan serta program bina diri.

Kerajaan sudah menyalurkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk pelaksanaan program RTG pada tahun lalu dan memberikan tambahan RM20 juta lagi pada tahun ini menerusi Belanjawan 2024.

Ketika ini, seramai 10 atlet berada dalam program RTG iaitu enam pemain badminton, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M Thinaah, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei; dua pelumba berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom.

Selain itu atlet terjun, Bertrand Rhodict Lises dan atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan.

Pencapaian terbaik Malaysia sejak Sukan Olimpik diperkenalkan adalah memenangi empat perak dan satu gangsa di Olimpik Rio 2016. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here