EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Kapten Argentina, Lionel Messi cergas untuk diturunkan bagi aksi separuh akhir Copa America menentang Kanada di New Jersey pagi esok, kata jurulatih Lionel Scaloni di sebalik kebimbangan penyerang itu mengalami kecederaan hamstring.
Messi kembali beraksi ketika kemenangan Argentina pada suku akhir ke atas Ecuador minggu lalu sesudah terlepas aksi terakhir peringkat kumpulan kerana kecederaan.
Dia bermain keseluruhan perlawanan tetapi kelihatan kurang cergas dari segi fizikal.
Pemain Inter Miami berusia 37 tahun itu gagal menyudahkan penalti ketika penentuan sepakan penalti di Stadium NRG, Houston.
“Leo (Messi) bagus, dia berakhir dengan baik, jadi esok dia akan menjadi sebahagian daripada perlawanan, kami tenang,” kata Scaloni pada sidang akhbar semalam menjelang aksi separuh akhir di Stadium MetLife.
“Tahapnya kelihatan bagus. Dia penting buat kami.”
Argentina dan Kanada akan bertemu kali kedua pada kejohanan itu selepas aksi pembukaan dalam Kumpulan A, yang mana juara bertahan menumpaskan pasukan dari CONCACAF itu 2-0.
Scaloni berkata kali ini beliau dan rakan sejawatnya di Kanada, Jesse Marsch akan mencuba “sesuatu yang berbeza.”
“Semua jurulatih akan memperbetul kesilapan dan menyukarkan lawan kami,” kata pengurus berusia 46 tahun itu.
“Setiap jurulatih akan melakukan sesuatu yang berbeza. Kami akan cuba menguasai bola dan menyekat mereka daripada mempamerkan permainan sebenar mereka.”
Bos Argentina itu menyatakan pasukannya perlu menangani corak permainan fizikal dan agresif Kanada, yang layak selepas menyingkirkan Venezuela menerusi penentuan sepakan penalti.
“Kanada mempunyai pemain yang kuat secara fizikal dan juga bagus dari segi teknikal, dengan jurulatih yang mengamalkan corak permainan agresif,” katanya.
“Mereka berjaya menyukarkan lawan mereka. Secara fizikal ia sukar untuk berdepan mereka, tetapi dengan apa yang kami ada, kami berharap dapat bermain mengikut corak kami.” – REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






