Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Orang ramai yang menghadiri Festival Ambang Merdeka 2026 di Putrajaya International Convention Centre (PICC) dan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya diingatkan supaya tidak membuang atau meninggalkan sampah sesuka hati.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) berkata, kehadiran pengunjung dalam jumlah besar dijangka meningkatkan penghasilan sisa termasuk bekas makanan dan minuman, botol plastik, pembungkus makanan serta barangan pakai buang.
“Sehubungan itu, SWCorp akan memperketat pemantauan dan penguatkuasaan dengan menempatkan anggota penguat kuasa di lokasi tumpuan sepanjang sambutan.
“Tindakan akan diambil terhadap individu yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam,” menurut KPKT
Menurut KPKT, kesalahan berkenaan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 [Akta 672], dengan pesalah yang disabitkan boleh didenda sehingga RM2,000.
“Mahkamah turut boleh mengenakan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga maksimum 12 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
“Antara bentuk khidmat masyarakat yang boleh diperintahkan termasuk kerja pembersihan seperti mengutip dan menyapu sampah serta membersihkan kawasan awam di bawah penyeliaan pihak berkuasa tempatan (PBT),” menurut KPKT.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan perlu diterjemahkan bukan sahaja melalui semangat patriotisme, tetapi turut melalui disiplin dan tanggungjawab rakyat dalam menjaga kebersihan negara.
“Kita mahu rakyat Malaysia turun beramai-ramai menyambut Hari Kebangsaan dengan penuh semangat dan rasa bangga.
“Selepas kita melaungkan ‘Merdeka’, janganlah kita tinggalkan sampah merata-rata. Cinta kepada negara bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang tetapi turut dibuktikan melalui sikap kita menjaga kebersihan negara dan meningkatkan imej negara,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman sebelum ini termasuk keadaan Dataran Merdeka yang dipenuhi sampah selepas aksi final Piala Dunia 2026 perlu dijadikan iktibar supaya perkara sama tidak berulang.
“Kebersihan bukan tanggungjawab petugas pembersihan semata-mata. Sebaliknya, setiap individu perlu bertanggungjawab terhadap sampah yang dihasilkan sendiri.
“Datanglah dengan semangat Merdeka dan pulanglah dengan penuh tanggungjawab. Kita mahu Dataran Merdeka dan Putrajaya kekal bersih selepas sambutan kemerdekaan.
“Malaysia rumah kita, kebersihan tanggungjawab kita bersama,” katanya.
Dalam pada itu, KPKT dan SWCorp menyeru pengunjung mengamalkan prinsip ‘Datang Bersih, Balik Bersih’ dengan memastikan semua sampah dibuang ke tempat yang disediakan sebelum meninggalkan lokasi sambutan.
Kerjasama orang ramai amat penting bagi memastikan kawasan sambutan kekal bersih, selamat dan selesa untuk semua.
Sambutan Hari Kebangsaan bukan sekadar manifestasi kecintaan kepada negara, malah perlu mencerminkan disiplin, tanggungjawab sivik dan budaya kebersihan rakyat Malaysia.
KPKT dan SWCorp menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjadikan sambutan Hari Kebangsaan 2026 sebagai simbol sebuah negara yang bukan sahaja merdeka dan bersatu, tetapi juga bersih dan bertanggungjawab.
IMedikel TV






