Oleh Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KEDAH: Keengganan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa selama hampir dua jam membawa kepada penahanan dua warganegara China dalam Ops Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Kulim bersama Jabatan Imigresen Malaysia, di Sungai Karangan, di sini, Jumaat lalu.
Operasi kira-kira jam 11.15 pagi itu menyaksikan pasukan penguat kuasa JPJ Cawangan Kulim mengesan sebuah Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan berkenaan dinaiki seorang pemandu dan seorang penumpang, yang kedua-duanya merupakan warganegara China.
“Pemandu terbabit bagaimanapun gagal mengemukakan lesen memandu serta dokumen berkaitan apabila diminta pihak penguat kuasa.
“Keadaan menjadi lebih menarik perhatian apabila kedua-dua individu berkenaan didapati enggan memberikan kerjasama sepanjang proses pemeriksaan dan tindakan lanjut yang mengambil masa hampir dua jam,” menurut kenyataan di laman rasmi.
Menurut kenyataan kedua-duanya kemudian diiringi ke JPJ Cawangan Kulim sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
Dalam tindakan sama, pihak berkuasa turut mengeluarkan saman, manakala Perodua Myvi berkenaan disita bagi tujuan siasatan.
JPJ Cawangan Kulim menegaskan operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa akan terus dipergiatkan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang, selain menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya.
IMedikel TV






