Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
KUANTAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pahang mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin bagi mendoakan keselamatan dua pegawai bomba dan rakyat negara ini yang masih berada di Nepal.
Usaha berkenaan bagi menzahirkan keprihatinan dan solidariti setiap warga balai bomba dan penyelamat di Pahang.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfadli Zakaria, berkata program keagamaan diadakan khusus bagi memanjatkan doa untuk keselamatan dua pegawai bomba, Mohd Sani Harul dan Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang kini berada di Nepal yang sehingga kini masih belum menerima khabar berita berhubung keadaan mereka.
Katanya, di kesempatan ini warga JBPM Pahang turut mendoakan keselamatan serta perlindungan buat seluruh rakyat Malaysia yang berada di Nepal khususnya mereka yang terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa kawasan di negara tersebut.
“Semoga Allah SWT melindungi mereka, mengurniakan keselamatan, kekuatan dan ketabahan serta dipermudahkan segala urusan pasukan yang sedang melaksanakan usaha mencari dan mendapatkan perkembangan terkini mengenai mereka.
“Doa dan solidariti menjadi tanda bahawa kita tidak pernah bersendirian. Hanya bantuan Allah dipohon moga mereka dikurniakan keselamatan, perlindungan dan kekuatan serta permudahkanlah segala urusan. Pertemukan kembali dengan insan yang menyayangi mereka dalam keadaan selamat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua pegawai JBPM antara rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi susulan kejadian banjir kilat di Rasuwa, Nepal.
Mohd Sani dan Mohd Fakhrul Munir adalah sebahagian daripada kumpulan 10 rakyat Malaysia dalam perjalanan menuju Everest Base Camp (EBC).
IMedikel TV






