Home Buletin Semasa MENTALITI ‘CHILDLESS’ MAMPU PERCEPAT PROSES PENUAAN PENDUDUK – LPPKN

MENTALITI ‘CHILDLESS’ MAMPU PERCEPAT PROSES PENUAAN PENDUDUK – LPPKN

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kelantan dianggarkan mempunyai 1.9 juta penduduk berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia 2024 dan kini sedang melalui peralihan demografi yang membawa implikasi besar terhadap masa depan negeri.

Pengarah Negeri Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Kelantan, Haslinda Hassan, berkata salah satu indikator utama perubahan itu ialah Kadar Kesuburan Jumlah (KKJ) atau Total Fertility Rate (TFR) iaitu purata bilangan bilangan anak yang dilahirkan seorang wanita dalam tempoh usia reproduktif 15 hingga 49 tahun.

“Sekiranya pasangan mengambil keputusan memfokus kepada bidang kerjaya, memikirkan untuk mengecilkan keluarga dan disebabkan itu kurang kadar TFR.

“Disebabkan masalah itu menyebabkan negara mudah mencapai penuaan kerana kadar penggantian penduduk kita tidak menepati,”katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Penduduk Sedunia Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2025, di sini, hari ini.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Profesor Dr. Arham Abdullah.

Menurut beliau antara punca penurunan TFR termasuk kecenderungan berkahwin lewat, kos sara hidup yang semakin tinggi, perubahan gaya hidup dan pilihan untuk mempunyai keluarga bersaiz kecil.

Dalam pada itu katanya terdapat juga individu atau pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai anak (childless).

“Sebab itu kita agak risau dengan keadaan tersebut. Sudahlah kita mempunyai data TFR semakin menurun, ditambah pula dengan kes yang viral ini (childless) agak merisaukan.

“Kalau kita lihat belum ada lagi data yang khusus berkaitan childless, Cuma kita risau dengan keadaan tersebut.

“Sebab kita hendak membangunkan keluarga tetapi terdapat ideologi sedemikian,”katanya.

Menurut beliau sekiranya mentaliti tersebut (childless) diterima TFR akan semakin menurun sekaligus ia akan mempercepatkan proses penuaan penduduk.

Katanya pihak LPPKN berkolaborasi bersama kerajaan negeri di bawah EXCO Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita untuk melaksanakan program secara berterusan.

Menurutnya dalam tempoh sedekad, TFR di Kelantan menurun daripada 3.6 anak pada tahun 2014 kepada 2.7 anak pada 2023.

Katanya walaupun angka itu masih melepasi paras penggantian penduduk 2.1 anak, trend itu jelas memberikan isyarat bahawa Kelantan sedang menuju era penuaan penduduk.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here