Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
RANTAU PANJANG: Seorang lelaki berusia 46 tahun ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 selepas ditemukan memiliki ketulan kristal syabu dalam tiub straw ketika menjalankan sekatan jalan raya di Sekat Pintas Serongga, di sini, baru-baru ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan ditahan sekitar jam 7.30 petang ketika anggota bertugas menerusi Op Taring Wawasan.
“Pemeriksaan ke atas suspek menemui satu tiub straw mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat 0.5gram dalam poket seluarnya.
“Hasil saringan awal turut mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, suspek dan barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
IMedikel TV






