Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
ALOR SETAR: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyerbu sebuah premis industri di kawasan Kompleks Perniagaan Shahab Perdana susulan dakwaan tular di media sosial mengenai kewujudan sebuah sekolah yang dikendalikan untuk warga Rohingya di kawasan berkenaan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi MBAS, serbuan pada 2 Julai lalu dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan MBAS dengan kerjasama Jabatan Perancangan Pembangunan bagi mengesahkan maklumat serta menilai pematuhan premis terhadap peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Hasil siasatan mendapati premis industri terbabit disewakan kepada warga Rohingya dan digunakan sebagai sebuah sekolah yang menempatkan seramai 26 kanak-kanak warga Rohingya yang menetap di kawasan berhampiran.
“Siasatan turut mendapati yuran sebanyak RM100 sebulan dikenakan kepada setiap pelajar.
“Susulan penemuan itu, Bahagian Penguatkuasaan MBAS telah merekodkan butiran pemilik premis serta penyewa bagi tujuan siasatan lanjut dan tindakan bersama agensi berkaitan mengikut bidang kuasa masing-masing,”menurut kenyataan itu.
Menurut MBAS, kes berkenaan akan diambil tindakan atas kesalahan salah guna premis industri.
Pada masa sama, kes itu turut akan dirujuk kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berhubung pengoperasian institusi pendidikan tanpa kebenaran, selain kepada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Kedah bagi penelitian terhadap status permit warga asing yang terlibat.
MBAS menegaskan akan terus komited memastikan setiap premis di dalam kawasan bandaraya Alor Setar mematuhi syarat penggunaan yang diluluskan serta semua peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa demi menjaga ketenteraman awam dan kepentingan masyarakat.
IMedikel TV






