Home Buletin Semasa KPDN KELANTAN TAHAN LELAKI CUBA SELEWENG BARANG KAWALAN

KPDN KELANTAN TAHAN LELAKI CUBA SELEWENG BARANG KAWALAN

25
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

RANTAU PANJANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan berjaya menumpaskan cubaan menyeleweng barang kawalan apabila menahan seorang lelaki tempatan serta merampas barang kawalan dan sebuah motosikal bernilai keseluruhan RM1,764.30 dalam Ops Tiris di Jalan Kedai Lama, di sini, Khamis lalu.

Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf dalam kenyataan memaklumkan tindakan penguatkuasaan pada jam 2.15 petang itu dilaksanakan oleh KPDN Cawangan Pasir Mas hasil rondaan rutin anggota penguat kuasa.

Menurut beliau anggota penguat kuasa mengesan sebuah motosikal bernombor pendaftaran Thailand membawa muatan yang disyaki mengandungi barang kawalan berhampiran Masjid Beijing, Rantau Panjang.

“Suspek dipercayai bertindak membuat pusingan U sebelum memecut ke arah Jalan Kedai Lama, namun berjaya dipintas di hadapan sebuah rumah tidak berpenghuni.

“Hasil pemeriksaan menemukan 51 kilogram (kg) minyak masak paket 1kg dan 48kg gula pasir kasar, manakala suspek gagal mengemukakan permit atau lesen bagi memiliki barang kawalan berkenaan,”katanya.

KPDN turut menyita sebuah motosikal jenis Honda Click 125 bernombor pendaftaran Thailand yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan, manakala suspek turut ditahan di bawah Seksyen 10 akta sama bagi membantu siasatan,”jelasnya.

Beliau menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyeleweng atau menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.

Orang ramai turut disaran menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan kepada pihak berkuasa bagi memastikan bekalan barangan bersubsidi sampai kepada golongan yang benar-benar layak. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here