Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KLANG: Seramai 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada lapan negara ditahan dalam Ops Mega Rentas Agensi yang dijalankan di Plaza GM, Bandar Botanik, di sini, hasil operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi penguat kuasa.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), operasi pada 1 Julai lalu itu dilaksanakan bagi membanteras PATI serta mengekang penyalahgunaan undang-undang imigresen menerusi pendekatan Whole-of-Government.
“Operasi bermula jam 5 petang itu membabitkan 125 pegawai penguat kuasa daripada JIM dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Operasi berkenaan dijalankan hasil risikan serta aduan awam yang dikumpulkan selama dua minggu,”menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan sebanyak 50 premis perniagaan dan 327 individu diperiksa sebelum 86 warga asing dari China, Kemboja, Filipina, Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Ketika serbuan dijalankan, beberapa warga asing dipercayai cuba melarikan diri, namun cubaan itu berjaya dipatahkan hasil koordinasi pasukan operasi termasuk penggunaan dron bagi memantau laluan keluar.
“Dalam operasi sama, JIM turut mengeluarkan 11 Borang 29 (Saman) kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan,”jelas kenyataan itu.
Sementara itu, JPN menahan seorang wanita yang disyaki menggunakan kad pengenalan milik individu lain untuk disiasat mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78).
“Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,”katanya.
JIM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana warga asing yang memasuki negara secara haram, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas.
Pada masa sama, tindakan tegas juga akan dikenakan terhadap majikan, pemilik premis atau mana-mana individu yang didapati menggaji, melindungi atau bersubahat dengan PATI.
Menurut JIM, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan di seluruh negara bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen, sekali gus mempertahankan kedaulatan undang-undang serta memelihara keselamatan negara.
IMedikel TV






