Oleh: Wartawan IMedikel TV
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor menubuhkan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor (SARBJ) yang pertama tahun ini sebagai usaha mentransformasikan pendidikan agama di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif berkenaan adalah cetusan ilham dan menjadi kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ).

“Alhamdulillah, SRBJ adalah cetusan ilham daripada Pemangku Sultan Johor. Kita sudah membangunkan empat sekolah iaitu dua sekolah rendah dan dua sekolah menengah, dan tahun ini kita akan mewujudkan sebuah sekolah agama.
“Kita tidak berhenti di situ. InsyaAllah, tadika juga akan diwujudkan menerusi kerjasama dengan Timbalan Perdana Menteri, ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Agama Kerajaan Johor Ke-28 dan Majlis Penutupan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri di Stadium Tertutup Arena Larkin, hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalif dan Ketua Polis Johor. datuk Ab Rahaman Arsad.
Mohd Fared mengumumkan Kerajaan Johor meluluskan pembinaan SARBJ yang pertama di Kota Iskandar tahun ini.
“Sekolah agama itu akan dilengkapi kemudahan pembelajaran digital serta tenaga pengajar terbaik sebelum diperluaskan ke setiap daerah nanti,”katanya.
Inisiatif SRBJ diperkenalkan bagi mentransformasikan sistem pendidikan negeri menerusi pembelajaran digital, penguasaan pelbagai bahasa, pembangunan sahsiah, pemerkasaan guru serta penyediaan kemudahan pendidikan bertaraf tinggi.
Empat sekolah yang terlibat dalam inisiatif itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4 di Pasir Gudang, selain SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara di Johor Bahru.
Pada majlis sama, Onn Hafiz turut melancarkan Buku Kod Etika Guru Agama Johor, menyampaikan Anugerah Tokoh Pendidikan Islam Negeri Johor dan Anugerah Tokoh Guru Agama Kerajaan Johor.
IMedikel TV






