Home Buletin Semasa 250 KAKITANGAN PENJARA PENOR NIKMATI SATU TAN DURIAN

250 KAKITANGAN PENJARA PENOR NIKMATI SATU TAN DURIAN

52
0

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Sebanyak satu tan durian pelbagai jenis disediakan untuk dinikmati kira-kira 250 kakitangan Penjara Penor sempena Pesta Makan Durian yang berlangsung di Padang Kawat Penjara Penor, di sini.

Program julung kali diadakan itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Penjara Pahang, Penolong Kanan Komisioner (PKK) Mohd Rusli Abd Rahman dan Timbalan Pengarah Penjara Penor, Penguasa Penjara (PP) Mohamad Hasnor Abd Hamid.

Penganjuran program berkenaan sebagai tanda kesyukuran, penghargaan serta menjaga kebajikan kakitangan atas komitmen mereka dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.

Mohamad Hasnor berkata, penyediaan satu tan durian pelbagai jenis itu bukan sahaja memeriahkan musim durian, malah menjadi medium mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga Penjara Penor di semua peringkat.

“Sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan program seumpama itu mendapat tempat dalam kalangan kakitangan, malah ramai berharap ia dapat diteruskan pada masa akan datang, khususnya ketika musim durian dan buah-buahan bermusim lain seperti rambutan, manggis, duku dan cempedak.

“Saya berpuas hati melihat sambutan yang diterima pada program kali ini. Kakitangan yang hadir boleh memilih sendiri buah, membukanya dan menikmati durian secara berkumpulan.

“Buah yang berkualiti dengan isi berwarna kuning dan putih menambahkan lagi selera peserta, sekali gus mewujudkan suasana ceria sehingga lewat petang,” katanya.

Beliau berkata, selain aktiviti sukan dan amalan gaya hidup sihat, program santai seperti itu juga wajar diteruskan bagi mengukuhkan lagi hubungan serta semangat kekitaan dalam kalangan kakitangan Penjara Penor.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here