Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
MACHANG: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di atas rumput kaki lima di Kilometer 25, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Azuhar Md Nor berkata, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu pada jam 3.47 petang, semalam.
Beliau berkata, mangsa berusia lingkungan 45 tahun ditemukan dalam keadaan meniarap dan tidak berbaju.
“Lelaki yang berasal dari Kota Bharu itu dipercayai seorang banduan penjara yang baharu dibebaskan dan dilihat berjalan kaki sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pihak Hospital Machang yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Pemeriksaan awal oleh pasukan Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan mengesahkan tiada kesan kecederaan berunsur jenayah,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mangsa mempunyai satu rekod jenayah mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Katanya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Krai untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
IMedikel TV






