Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah @IMedikel TV
BACHOK: Seorang pelajar Tingkatan Lima maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok kelapa yang tumbang di tali air belakang Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang maut ialah Nik Mohd Haiqal Abdul Rahim, 17, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss bersama rakannya, Ahmad Iqbal Mukmin, 17.
Mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala, manakala rakannya mengalami kecederaan parah dipercayai di bahagian tengkuk.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian itu.
Katanya, mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Bachok bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, Penghulu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Permatang Pasir, Nor Azman Mohamad berkata, laluan di kawasan itu adalah laluan harian penduduk kampung, terutama pelajar sekolah.
Kedua-dua mangsa dipercayai melalui laluan tali air berkenaan sebelum ribut melanda, menyebabkan sebatang pokok kelapa berketinggian kira-kira 10 meter patah lalu menghempap motosikal yang mereka naiki.
“Kejadian itu dipercayai berlaku ketika ribut kuat melanda kawasan berkenaan dalam tempoh kira-kira lima minit.
“Ini adalah kali pertama kejadian pokok tumbang berlaku dan menyebabkan kematian,” katanya.
Beliau turut memaklumkan mangsa yang maut membawa rakannya yang dipercayai masih bertongkat selepas baru sembuh daripada kemalangan yang menyebabkan kakinya patah.
IMedikel TV






