Oleh: Afrizam Arif@Imedikel TV
PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) bersama enam nelayan warga Thailand di muara Tok Bali, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata tangkapan dilakukan pasukan bot peronda agensi berkenaan pada kedudukan kira-kira 40 batu nautika.

“Tiga daripada enam nelayan berkenaan didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah.
“Tangkapan ini dijalankan semasa kami melaksanakan Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris pada kedudukan 40 batu nautika sekat sempadan perairan Malaysia-Vietnam,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Beliau berkata vesel itu dikesan ketika menangkap ikan di posisi tersebut kira-kira 4.30 petang semalam sebelum ditahan dan diperiksa 10 minit kemudian.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati terdapat enam kru termasuk tekong kesemuanya disyaki warga negara Thailand berumur antara 33 hingga 55 tahun bekerja di bot tersebut.
Menurutnya hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada kru bot tersebut didapati gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah ketika diminta.
Katanya selepas ditahan, bot berkenaan kemudiannya diiringi ke jeti Maritim Negeri Kelantan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

“Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/63 kerana kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan permit bekerja yang sah,” katanya.






