Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki yang dilaporkan lemas selepas menyelamatkan anaknya di Sungai Lebir, Jalan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Lebir 1, di sini, pada petang Sabtu, ditemui meninggal dunia, hari ini
Dalam kejadian kira-kira jam 5.00 petang itu, mangsa, Mohamad Fakarudin Abdul Halim @ Awang,40, dipercayai tenggelam selepas cuba menyelamatkan anaknya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan melalui talian NG999 berkenaan kejadian itu sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan operasi di lokasi, Komander Operasi lapor maklumat daripada orang awam mengatakan mangsa lemas selepas berjaya menyelamatkan anaknya.
“Namun mangsa tenggelam dan hanyut tidak dapat dikesan kerana pergerakan air arus deras dan dalam,”katanya.
Mangsa ditemui kira-kira jam 12.27 tengah hari oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) yang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Mangsa lemas ditemui oleh PPDA lebih kurang tiga meter dari tempat terakhir mangsa tenggelam.
“Operasi tamat dan tutup pada jam 2.05 petang,”katanya.
IMedikel TV






