MANCHESTER: Pep Guardiola dan barisan pemainnya sudah bersedia untuk mencipta sejarah trebel menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara.
Juara EPL itu meraih gelaran liga buat kali ketiga berturut-turut dengan masih berbaki tiga perlawanan dan dijadual bertemu Manchester United untuk aksi final Piala FA dan Inter Milan dalam saingan Liga Juara-Juara, bulan depan.
Untuk rekod, hanya United yang berjaya meraih gelaran trebel dalam kancah bola sepak Inggeris iaitu pada musim 1998/99.
“Semua orang tahu di mana posisi kami ketika ini. Ia hadir sekali seumur hidup,” kata Guardiola.
“Apabila kami di sana, yang pertama kamu perlu bertenang dan menikmatinya selain melakukan yang terbaik, namun tiada seorang pun yang dapat memastikan yang kami akan kembali dalam posisi berkenaan lagi.
“Mereka sudah bersedia. Saya melihat banyak perkara – bagaimana mereka hadir membuat rawatan pada hari cuti, tempoh mereka menjalani rawatan, sejauh mana pemain secara peribadi mengambil berat mengenai sama ada mereka boleh atau tidak boleh bermain di final Piala FA dan Liga Juara-Juara.
“Apabila kamu melihatnya, kamu tidak perlu memberitahu segala-galanya dan melakukan segala-galanya.”

Ketajaman Guardiola ketika melakukan sesuatu sering dilihat sebagai kunci kejayaan dalam kariernya.
Dalam pada itu, Guardiola berkata, tempoh rehat selepas aksi terakhir liga di Brentford esok adalah masa terbaik untuk melakukan persiapan menjelang dua perlawanan penting itu.
“Ketika saya mula berada di sini, ia seperti ‘saya perlu menyediakan final. Saya perlu membuat banyak video’. Sekarang, ia benar-benar berbeza,” kata bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu yang pernah menjuarai 11 gelaran liga dalam 14 musim sebagai jurulatih.
“Kami perlu mempunyai masa sendiri. Malah fisioterapi, doktor dan tukang masak kami, mereka sudah bekerja dengan gigih dalam tempoh ini. Mereka tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. Mereka perlu masa itu.
“Jadi pergilah (meluangkan masa) bersama keluarga kamu. Jika hari itu baik, pergilah bermain golf, lakukan apa saja yang kamu mahu dan (dapatkan) kualiti (masa rehat) sebagai persiapan untuk final.
“Kembali dengan keadaan terbaik untuk aksi final nanti.” – AFP
Sumber BH Online
Imedikel TV






