Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PASIR MAS: Kerajaan Malaysia dan Thailand bersetuju untuk mempercepatkan Jambatan Kedua Sungai Golok-Rantau Panjang di Rantau Panjang, di sini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu diputuskan selepas perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin.

“Kita berbincang untuk percepatkan proses tender dan mereka telah diberitahu supaya memendekkan proses tersebut. Projek itu sepatutnya siap awal 2027. Jika proses tender dipercepatkan, mungkin ia akan siap pada akhir 2026.
”Tentunya ia memberi satu gambaran yang sangat positif tentang peningkatan ekonomi.
”Saya juga telah berbincang untuk mengadakan beberapa projek pembangunan dari sudut peluang peniagaan bagi warung-warung dan tempat peniagaan yang lebih baik di kawasan berdekatan dengan jambatan supaya ia tidak hanya sebagai jambatan tetapi ada rangkaian peningkatan peniagaan di sebelah Kelantan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Sempena Lawatan Kerja ke Rantau Panjang Kelantan dan Sungai Golok, Thailand, di Dewan Utama Kompleks Apam Putra, Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas, hari ini.
Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Menurut beliau proses pembinanaan itu melibatkan tender dari 10 syarikat Malaysia dan 10 syarikat Thailand dan proses mempercepatkan tender dalam projek itu memerlukan kerjasama antara kedua-dua negara.
”Apabila siap jambatan kedua, jambatan pertama akan dinaik taraf,”katanya.
IMEDIKEL TV






