Home Sukan MALAYSIA MENJUNAM KE KEDUDUKAN 138 DUNIA

MALAYSIA MENJUNAM KE KEDUDUKAN 138 DUNIA

38
0

KUALA LUMPUR: Memetik laporan menerusi Berita Harian kedudukan Malaysia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terus menjunam susulan kekalahan 1-3 kepada Vietnam dalam aksi terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027, semalam.

Berdasarkan kemas kini ranking secara langsung (live) di laman web FIFA, Harimau Malaya kini menghuni tangga ke-138 dunia dengan mengumpul 1086.23 mata, jatuh lagi tiga anak tangga berbanding kedudukan 135, minggu lalu.

Kemas kini terbaharu ranking itu menyaksikan skuad negara sekarang jatuh 17 anak tangga berbanding kedudukan ke-121 pada Januari lalu.

FIFA di laman berkenaan bagaimanapun menjelaskan bahawa kedudukan ranking dalam kemas kini secara langsung itu dianggap belum rasmi sehingga semua perlawanan diluluskan sebagai perlawanan antarabangsa ‘A’.

Kejatuhan ranking secara mendadak itu turut dipengaruhi oleh keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan dua aksi Harimau Malaya dalam kempen kelayakan berdepan Nepal dan Vietnam sebelum ini.

Berdasarkan keputusan asal dua perlawanan itu, Malaysia menewaskan Nepal 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, 25 Mac tahun lalu dan membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Jun tahun lalu.

Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC pada 17 Mac lalu bagaimanapun membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 0-3 pada kedua-dua perlawanan itu selepas Harimau Malaya didapati menurunkan pemain tidak layak.

Tindakan berkenaan diputuskan susulan isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.

Harimau Malaya yang berada di kedudukan ke-116 dunia pada November tahun lalu mula mengalami kejatuhan ranking selepas FIFA membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan skuad negara menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin juga susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain terbabit.

Keputusan asal perlawanan itu menyaksikan skuad kendalian Peter Cklamovski seri 1-1 berdepan Cape Verde dan menang ke atas Singapura (2-1) serta Palestin (1-0).

Namun, Jawatankuasa Tatatertib FIFA membuat keputusan bahawa Malaysia diisytihar kalah dengan jaringan 0-3 pada ketiga-tiga perlawanan itu kerana Harimau Malaya menurunkan pemain tidak layak, sekali gus memberi kesan terhadap kedudukan skuad negara dalam ranking dunia. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here