KUALA LUMPUR: Malaysia memberi signifikan bermakna terhadap kerjaya seni penyanyi antarabangsa, Maher Zain, 44, berbanding negara lain.
Justeru, enam tahun tidak kembali ke Malaysia menimbulkan perasaan tidak sabar di hati artis kelahiran Sweden-Lubnan itu untuk bertemu dan menghiburkan peminat menerusi siri jelajah di Asia Tenggara.
Memetik laporan Berita Harian, Konsert Jelajah Asia Tenggara 2025 anjuran Yayasan Tengku Abdullah bakal membuka tirai di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 16 Ogos ini, diikuti The Star Theatre Singapore (21 Ogos) dan Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Kota Kinabalu, Sabah (23 Ogos).
Maher berkata, dia sangat teruja dapat kembali ke Malaysia bagi menjayakan konsert istimewa, selain menghiburkan peminat yang sekian lama menanti kepulangannya.
“Saya tidak sabar dapat pulang semula ke Malaysia untuk menemui peminat. Selain lagu-lagu hit, tentunya tidak ketinggalan saya akan menyanyikan lagu baharu buat peminat.
“Saya gembira dapat menghiburkan peminat di Malaysia dan Singapura dengan lagu-lagu saya yang mungkin masih diingati ramai,” katanya pada sidang media secara virtual, baru-baru ini.
Berkongsi gimik dan tema bakal dibawakan pada malam konsert, Maher berkata, dia mahu terlebih dahulu berbincang dengan penganjur mengenai konsep.
Bagaimanapun, katanya, lagu hit terbaharu bersama Harris J berjudul Qalbi Fi Madinah dan Rahmatun Lil’Alameen tidak akan ketinggalan akan dipersembahkan buat peminat.
Maher berkata, dia akan berlatih semula sebutan lagu Insha-Allah dalam bahasa Melayu.
“Nampaknya saya kena masuk kelas semula untuk belajar bahasa Melayu kerana sudah lama tidak ke Malaysia. Tapi, saya yakin dalam tempoh dua bulan ini, saya boleh belajar semula.
“Agak penting untuk saya bertutur bahasa Melayu buat peminat di Malaysia. Apapun, saya harap semuanya berjalan lancar dengan persediaan dilakukan bersama pasukan,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






