Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) merampas kira-kira 21,000 kilogram bersamaan 21 tan tembakau jenis virginia bernilai RM650,000, di premis Lorong Pengkalan 7, Pengkalan Lahat, Ipoh, Perak pada 3 Januari lalu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Datuk Zailani Hashim, berkata rampasan itu dibuat hasil daripada intipan selama seminggu menerusi Operasi Bersepadu yang dilakukan oleh anggota penguat kuasa LKTN di premis milik seorang lelaki berusia 40-an.

“Apabila pihak unit penguat kuasa kami melakukan operasi tersebut, kami mendapati hanya tembakau ini sahaja berada di dalam premis tersebut.
“Bagaimanapun, setakat ini, tiada tangkapan dibuat terhadap mana-mana pihak semasa kejadian itu berlaku dan siasatan lanjut terhadap pihak berkenaan sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media rampasan daun tembakau virginia terbesar di LKTN, di sini, hari ini.
Katanya, tembakau itu mempunyai kelebihan apabila disimpan dalam jangka masa yang lama dan lebih berkualiti.
“Mereka akan menyimpan dalam tempoh masa tertentu sampai satu tahun di dalam stor dan pengawetan dalam keadaan kondisi macam ini ia akan lebih tahan lama dan rokok yang akan dihasilkan melalui tembakau virginia ini berkualiti tinggi,” katanya.
Zailani berkata, tembakau itu dijual pada harga RM30 sekilogram dan menjadi rebutan ramai.
Jelasnya, nilai rampasan itu adalah yang terbesar dibuat sepanjang tiga tahun lepas iaitu pada 2022 sebanyak RM111,421.74 manakala pada 2023, nilai rampasan berjumlah RM291,133.75

Menurutnya, rampasan itu dilaksanakan dengan kerjasama daripada pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Pasukan Gerak Am, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Zailani berkata tindakan rampasan itu dilakukan berdasarkan kepada Seksyen 51 (1) Akta LKTN 2009 (Akta 692).
Tambahnya, pihak LKTN memandang serius terhadap kesalahan yang membabitkan aktiviti tidak sah seperti menyimpan, memiliki dan memindahkan stok tembakau tanpa kelulusan LKTN.
IMedikel TV






