KUALA LUMPUR: Berdepan cabaran mendidik anak dalam era keterbukaan media sosial, pelakon berpengalaman, Lisdawati menitikberatkan komunikasi dan sikap cakna terhadap aktiviti anak sebagai asas menjaga keselamatan serta pergaulan mereka.
Memetik laporan Berita Harian, Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 48, berkata sebagai ibu, dia perlu mengetahui perkara yang berlaku dalam kehidupan anak termasuk urusan kewangan, pergaulan, penggunaan telefon bimbit serta kandungan yang ditonton di internet.
Pelakon filem KL Menjerit itu berkata, pendekatan itu bukan bermaksud mahu mengongkong, sebaliknya sebagai langkah memastikan anak memahami batas serta risiko yang mungkin dihadapi dalam dunia hari ini.
“Apa sahaja perkara yang membabitkan anak, saya memang akan ambil tahu dan bertanya. Contohnya, kalau saya buka akaun bank, saya perlu tahu kata laluan dan ke mana duit itu pergi.
“Walaupun tidaklah sampai terlalu memeriksa, tetapi kita perlu ambil tahu. Begitu juga dengan mesej dan pergaulan mereka. Saya beritahu dengan siapa mereka boleh berhubung.
“Kalau anak perempuan, saya akan beritahu kalau buat panggilan video sesama kawan perempuan pun, kena pakai tudung juga. Semua kena jaga, walaupun kawan perempuan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana drama terbaharu lakonannya, Cela, di TGV Suria KLCC di sini, baru-baru ini.
Lisdawati turut mengambil berat mengenai individu yang menjadi rakan kepada anak-anak, termasuk memastikan dirinya mengenali keluarga serta ibu bapa mereka.
“Saya memang akan tanya siapa kawan mereka. Kalau mereka mahu keluar dengan kawan, saya lebih suka jika saya kenal ibu bapa kawan berkenaan.
“Saya ambil tahu semuanya. Bukan sebab mahu mementingkan diri atau mengongkong, tetapi saya mahu mereka faham kenapa ibu perlu tahu, lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang.
“Saya juga selalu beritahu mereka, telefon ini boleh jadi jahat,” katanya.
Menurut Lisdawati, ibu bapa juga tidak seharusnya mengambil mudah bahan yang ditonton anak-anak menerusi telefon bimbit, terutama kandungan yang diperoleh daripada internet dan media sosial.
“Saya mahu tahu apa yang mereka tengok. Mereka tengok cerita macam ini atau apa sahaja di telefon. Daripada apa yang mereka tonton, kita boleh tahu sama ada mereka ditipu atau tidak.
“Sebab itu ibu perlu ada masa untuk bertanya dengan anak. Bukan sekadar percaya dan membiarkan begitu sahaja,” katanya.
Lisdawati berkata, pendekatan mendidik anak bagaimanapun tidak seharusnya dibuat dengan cara terlalu mengongkong kerana ia boleh menyebabkan mereka takut untuk berkongsi atau berkomunikasi dengan ibu bapa.
“Kita tidak boleh terlalu mengongkong. Kita boleh berkawan dengan anak, tetapi pada masa sama kita terangkan kenapa mereka perlu pilih kawan yang baik.
“Kita boleh tanya, apa akan berlaku kalau macam itu? Kalau buat macam ini, apa akan berlaku? Kalau bergaul dengan orang macam ini, apa akan berlaku?
“Kita beri mereka ruang untuk berfikir. Akhirnya, mereka sendiri akan faham. Jadi, mereka belajar membuat pertimbangan sendiri. Untuk anak lelaki pun saya tanya juga. Jadi, saya tahu dengan siapa mereka berkawan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Lisdawati membintangi drama Cela arahan Feroz Kader yang mengangkat tema suspens psikologi dan cinta gelap, selain meneroka elemen obsesi, rahsia serta kemaafan.
Siri 12 episod itu menampilkan Nabila Huda dan Hun Haqeem yang buat julung kalinya digandingkan dalam satu naskhah, dibantu barisan pelakon seperti Zarif Ghazzi, Ellyza Azizi, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Zain Saidi.
Siri terbitan Global Film Station Sdn Bhd dan Viu Original itu mula disiarkan secara eksklusif di Viu, kelmarin. – BH Online –
IMedikel TV






