Home Buletin Semasa LELAKI ACU PARANG KEPADA POLIS, ENAM PIL DISYAKI YABA DIRAMPAS

LELAKI ACU PARANG KEPADA POLIS, ENAM PIL DISYAKI YABA DIRAMPAS

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

JELI: Seorang lelaki bertindak agresif dengan mengacukan parang yang diselitkan dipinggangnya ke arah anggota polis ketika serbuan di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Lubok Bongor, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi pada Khamis lalu, suspek turut mengeluarkan ugutan untuk kematian sebelum berlaku pergelutan ketika anggota polis cuba menahannya.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun, berkata seorang anggota polis mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan bahu kiri dalam pergelutan itu.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditahan dan keadaan dikawal tanpa berlaku kecederaan lebih serius.

“Hasil pemeriksaan, polis merampas sebilah parang berukuran kira-kira 36 sentimeter termasuk hulu serta satu plastik lutsinar mengandungi enam biji pil berwarna kemerahan yang disyaki dadah jenis yaba.

“Pil berkenaan ditemukan di dalam sebuah beg pinggang berwarna hitam,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek adalah individu yang dikehendaki Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Jeli kerana disyaki aktif dalam kegiatan pengedaran dadah di sekitar daerah berkenaan.

“Suspek turut dikehendaki bagi membantu siasatan satu kejadian sehari sebelum itu, apabila dia dipercayai mengeluarkan kata-kata ugutan berbaur kematian sambil mengacukan parang ketika serbuan polis dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek akan dibawa ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan lanjut,”katanya.

Kamarulzaman berkata, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan mengugut, menyerang atau menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam yang sedang menjalankan tugas.

Beliau turut memberi amaran tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba menghalang tugas polis atau membahayakan keselamatan anggota serta orang awam.

Orang ramai turut diseru supaya menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah kepada polis bagi membantu memastikan keselamatan serta ketenteraman masyarakat di daerah Jeli terus terpelihara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here