Home Buletin Semasa PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT BERTEMBUNG KERETA

PENUNGGANG MOTOSIKAL MAUT BERTEMBUNG KERETA

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA KRAI: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 81 Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Bukit Akil, di sini, petang Khamis lalu..

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat mengalami kecederaan parah di kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Mohd Maizan Mustaffa, berkata pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan itu kira-kira jam 5.15 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari Tumpat menghala ke Felda Aring 1, Gua Musang.

“Pada masa sama, sebuah kereta dipandu wanita tempatan berusia 46 tahun bergerak dari arah Gua Musang menghala ke Kuala Krai,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, setibanya di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai (HSIP) untuk proses bedah siasat, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,”katanya.

Mohd Maizan berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta yang gagal mengawal kenderaan sehingga memasuki laluan bertentangan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci sedang dijalankan,” katanya.

Sehubungan itu, polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan yang masih dalam pembinaan dan mempunyai banyak lencongan.

Pengguna jalan raya turut diminta mematuhi papan tanda serta peraturan ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik IPD Kuala Krai atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Khairul Izzat Md Nasir di talian 09-966 6222.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here