Lantunan vokal penyanyi, Black Hanifah tidak perlu dipertikai dan diragui. Mencipta nama selepas menyandang gelaran juara dalam program Mentor 3, nama Black terus kekal relevan dalam industri hiburan.
Memetik laporan Harian Metro, Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah, 38, bakal menggegarkan pentas konsert, Exclusive Night Nyawa Black Hanifah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Setia Alam pada 26 Julai ini.
Menariknya, konsert eksklusif ini hanya membuka ruang kepada 600 peminat dan konsep itu adalah atas permintaan Black sendiri.
“Konsert ini saya reka agar wujud interaksi rapat antara saya dan penonton. Sebab itu kami hadkan kepada kira-kira 600 orang sahaja, lebih kecil, lebih mesra.
“Bila terlalu ramai, sukar mewujudkan hubungan yang dekat. Saya mahu penonton rasa benar-benar dilibatkan, seolah-olah mereka sebahagian daripada perjalanan saya.
“Tema konsert ini ialah ‘nyawa’ yang mewakili keperibadian saya sendiri. Ia simbol cinta, semangat dan penghargaan terhadap semua insan yang menjadi ‘nyawa’ dalam hidup dan kerjaya seni saya,” katanya.
Pada awalnya, dia dan penganjur hanya ingin mengadakan persembahan eksklusif yang lebih terhad, namun siapa sangka, sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
“Tapi, pada awalnya, lokasi konsert hanya boleh menampung 250 orang. ‘Organizer’ kami ketika itu sudah dapat slot untuk lokasi itu.
“Namun, bila kami lihat sambutan luar biasa dan risau kalau lokasi terlalu kecil serta keadaan jadi tidak selesa dan panas, kami bincang semula,” katanya.
Menurut Black, tempoh perjalanan karier seninya sepanjang 17 tahun penuh pelbagai pengalaman.
“Selepas 17 tahun dalam industri, saya akui perjalanan ini bukan mudah. Ramai hanya melihat sisi indah di media sosial, tetapi dalam konsert ini saya akan kongsikan pahit manis sepanjang tempoh itu.
“Bukan sekadar menyanyi, tetapi mencipta momen yang akan kekal dalam ingatan penonton. Saya pastikan mereka akan terus bercerita mengenai konsert ini.
“Akan ada juga kejutan, termasuk video yang boleh mencuit hati dan menghiburkan,” katanya.
Tambah Black, dia juga akan mempersembahkan 17 lagu istimewa, sesuai dengan angka keramat 17 tahun usia kariernya.
“Pada awalnya, saya bercadang untuk menyampaikan 12 lagu sahaja. Namun, sempena ulang tahun ke-17 penglibatan saya dalam industri, saya putuskan untuk menyanyikan 17 lagu istimewa.
“Saya juga menggunakan khidmat pengarah muzik dari Johor untuk konsert ini, seorang yang jarang muncul di kaca televisyen. Ini sebahagian daripada usaha saya untuk menampilkan kelainan,” katanya.
Black juga mempromosikan single berjudul Hijab Rindu yang turut mencipta fenomena dalam kalangan peminat muzik tanah air. – HMetro Online –
IMedikel TV






