Home Buletin Semasa LEBIH 200 ANAK GOLONGAN ASNAF DI KELANTAN TERIMA TAJAAN BERKHATAN YAYASAN RAJA...

LEBIH 200 ANAK GOLONGAN ASNAF DI KELANTAN TERIMA TAJAAN BERKHATAN YAYASAN RAJA SHAMRI

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

PASIR MAS: Lebih 200 anak golongan asnaf di Kelantan menerima tajaan pembiayaan berkhatan di bawah naungan Yayasan Raja Shamri sepanjang tahun ini.

Pengasas Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin berkata, Program Berkhatan Sunathon yang diadakan hari ini mendapat kerjasama Jabatan Surgeri Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Menurutnya, Pasir Mas menjadi lokasi pertama pelaksanaan program berkenaan bagi tahun ini, melibatkan seramai 61 anak asnaf berusia antara 10 hingga 12 tahun.

“Kami menyasarkan penajaan kos berkhatan kepada anak-anak daripada keluarga miskin dan berpendapatan rendah, diharapkan program ini dapat membantu meringankan beban ibu bapa dalam melaksanakan kewajipan berkhatan terhadap anak masing-masing.

“Secara purata, yayasan menaja dan membantu kira-kira 200 anak asnaf setiap tahun, terdiri daripada anak yatim, fakir miskin dan keluarga berpendapatan rendah yang telah dikenal pasti lebih awal oleh sukarelawan The 3rd Force di kawasan terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Berkhatan Sunathon, di sini, hari ini.

“Saya sangat teruja melihat sambutan ibu bapa yang sanggup menunggu dan menemani anak-anak sepanjang program ini berlangsung, sokongan mereka amat bermakna dan kami berterima kasih kepada para penyumbang yang menjadikan program ini sebagai medium beramal dan ladang pahala,” katanya.

Sementara itu, Doktor Pakar Bedah Payudara HPUSM, Dr Wan Zainira Wan Zain berkata, pemeriksaan awal akan dilakukan terhadap kanak-kanak sebelum proses berkhatan dijalankan.

“Terdapat kanak-kanak yang tidak sesuai untuk berkhatan secara berkumpulan, contohnya mereka yang mengalami fimosis atau masalah kulit zakar yang tidak terbuka, kes seperti ini akan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Selain itu, kanak-kanak yang mempunyai masalah abnormaliti seperti hipospadias, iaitu bukaan uretra tidak berada di hujung penis, juga tidak boleh menjalani prosedur berkhatan di sini,” katanya.

Menurutnya, tempoh pemulihan selepas berkhatan adalah sekitar tiga minggu, namun kebanyakan kanak-kanak boleh kembali melakukan aktiviti biasa selepas tiga hari.

Beliau berkata, kanak-kanak dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti fizikal lasak atau berendam sepanjang tempoh pemulihan.

“Tiada pantang larang makanan, kecuali jika kanak-kanak tersebut mempunyai alahan tertentu seperti telur atau makanan laut. Telur sebenarnya baik kerana mengandungi protein yang membantu proses penyembuhan,” katanya.

Tambahnya, proses berkhatan mengambil masa sekitar 10 minit bagi setiap kanak-kanak, bergantung kepada keadaan individu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here