Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Lebih 20 peratus pelajar sekolah rendah kini dikenal pasti mengalami masalah rabun, menunjukkan peningkatan ketara berbanding 10 hingga 15 peratus sebelum ini.
Ia sekali gus membimbangkan kerana kebanyakannya membabitkan tahap kuasa rabun yang tinggi.
Pengarah Program Komuniti Pengesanan dan Intervensi Mata Rabun merangkap Timbalan Pengarah Korporat dan Kelestarian Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Profesor Dr Shatriah Ismail berkata, fenomena itu semakin ketara selepas pandemik Covid-19, dipengaruhi faktor gaya hidup termasuk penggunaan gajet berlebihan dan kurang aktiviti luar rumah.

“Hampir 20 peratus pelajar sekolah rendah kini ada masalah rabun dan kebanyakannya ke arah kuasa tinggi. Dulu kita jumpa kuasa rendah seperti 100 atau 200, tetapi sekarang ramai yang mencecah 400, 500 malah 700 hingga 800,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Penyerahan Cermin Mata Kepada Pelajar Sekolah Rendah Di Bawah Inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Prihatin Madani: Pengesanan dan Intervensi Mata Rabun, di Auditorium Pentadbiran HPUSM, di sini, pada Ahad.
Hadir sama Timbalan Pengarah (Klinikal) HPUSM, Profesor Dr Zaidi Zakaria.

Menurutnya, program berkenaan sudah dilaksanakan sejak empat tahun dan merangkumi semua jajahan di Kelantan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), guru-guru sekolah, pasukan perubatan HPUSM serta optometris swasta.
“Setakat ini, sebanyak 1,200 unit cermin mata percuma disumbangkan kepada pelajar golongan B40 dan asnaf, kebanyakannya melalui dana Majlis Agama Islam Dan Adat istiadat Melayu Kelanmtan (MAIK). Terbaharu Essilor Foundation menyumbang 1,000 unit cermin mata bernilai RM180,000 melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.
Beliau menjelaskan, kebanyakan pelajar yang mengalami rabun tidak menyedari masalah tersebut dan tidak mengadu, namun guru mula mengesan apabila murid tidak dapat melihat tulisan di papan putih, sekali gus menjejaskan prestasi akademik.
“Apabila diperiksa, rupanya mereka memang tidak nampak. Ini menyebabkan pelajar ketinggalan dalam pelajaran sedangkan puncanya adalah masalah penglihatan,” katanya.
Tambahnya, antara faktor utama peningkatan rabun dalam kalangan kanak-kanak ialah keturunan, penggunaan gajet melebihi dua jam sehari serta kurang aktiviti fizikal di luar rumah.
“Penggunaan gajet perlu dipantau ibu bapa dan dihadkan untuk tujuan komunikasi sahaja. Aktiviti luar rumah dan bersukan perlu diterapkan semula kerana gaya hidup kita sekarang sangat mempengaruhi kesihatan mata kanak-kanak,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, pola masalah rabun kini berubah apabila kanak-kanak seawal tujuh tahun dikesan mengalami masalah tersebut, berbanding sebelum ini yang lazimnya hanya dikesan sekitar umur 12 tahun.
Dalam pada itu, pelaksanaan program dibuat secara berpusat mengikut daerah dengan guru-guru dilatih untuk mengenal pasti pelajar bermasalah sebelum dibawa menjalani pemeriksaan mata dan rawatan lanjut.
Katanya untuk program kali ini membabitkan seramai 99 pelajar dari PPD Bachok dan Pasir Mas.
“Pelajar asnaf dibantu melalui dana MAIK, manakala pelajar B40 dibantu melalui Essilor Foundation,”katanya.
Beliau berharap agar usaha itu dapat membantu mengurangkan masalah rabun dalam kalangan pelajar sekolah khususnya peringkat rendah.
Katanya kesedaran ibu bapa terhadap kesihatan mata anak-anak dapat ditingkatkan bagi mengelakkan masalah rabun berlarutan dan menjejaskan perkembangan akademik kanak-kanak.
IMedikel TV






