Bangkok, THAILAND: Ajaibnya apabila seekor kucing jantan di Thailand, baru-baru ini, terselamat selepas terjatuh dari tingkat enam sebuah kondominium tanpa mengalami kecederaan parah walaupun ia menyebabkan lubang besar pada cermin depan sebuah kereta.
Insiden itu membabitkan kucing diberi nama Shifu yang dinamakan sempena Master Shifu dalam filem Kung Fu Panda, menurut The Nation.
Straits Times melaporkan, pemilik kereta, Apiwat Toyothaka berkongsi kisah itu menerusi hantaran di Facebook (FB) pada Sabtu, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pengurusan kondominiumnya, pada 7 pagi.
Pencipta kandungan digital yang juga memiliki seekor kucing berkata, dia tidak boleh marah apabila melihat haiwan yang ketakutan itu bersembunyi di bawah keretanya selepas melompat keluar dari lubang besar cermin depan kenderaan itu yang pecah.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Shifu yang mempunyai berat 8.5 kilogram (kg) itu tergantung sebentar di balkoni di tingkat enam bangunan itu, sebelum terjatuh.
Shifu kemudian jatuh ke balkoni tingkat tiga sebelum merempuh cermin depan kereta Apiwat.
Apiwat berkata, X-ray yang dilakukan ke atas Shifu mendapati tiada tulang patah, dan ia hanya kehilangan dua kuku.
Difahamkan, Apiwat menuntut ganti rugi keretanya daripada firma insurans.
Pengurus kondominium yang terletak di Soi Sathupradit 49, Thanakorn Jongjaemfah berkata, insiden itu menunjukkan sebab penghuni bangunan itu dilarang memelihara haiwan , lapor The Nation.
Berikutan kejadian itu, pemilik Shifu didenda 1,000 baht (kira-kira RM133) dan dia sudah berjanji untuk memindahkan kucingnya ke rumah ahli keluarga lain.
Sumber MHarian Online & AGENSI
Imedikel TV






