Home Buletin Semasa KPT TELITI TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP TUDUHAN ‘JUAL TEMPAT’ KE UNIVERSITI AWAM

KPT TELITI TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP TUDUHAN ‘JUAL TEMPAT’ KE UNIVERSITI AWAM

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti dan mempertimbangkan tindakan serta prosedur perundangan yang sewajarnya susulan beberapa tuduhan yang didakwa tidak berasas berhubung sistem kemasukan ke Universiti Awam.

KPT dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, kementerian memandang serius tuduhan yang terus diulang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr. Haim Hilman Abdullah , termasuk dakwaan kononnya Universiti Awam sedang “menjual tempat-tempat untuk anak-anak kita kepada orang ada duit” dan wujud puluhan ribu pelajar memasuki Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui “pintu belakang”.

“Tuduhan terbaharu dibuat menerusi rakaman video ucapan yang disiarkan di Facebook sempena Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya Negeri Sembilan pada 13 Jun lalu.

“Tuduhan seperti ini bukan sahaja sangat berat, malah berpotensi menjejaskan reputasi dan kredibiliti keseluruhan sistem pendidikan tinggi negara, termasuk Universiti Awam, pengurusan universiti, pegawai kerajaan serta ribuan pelajar yang mengikuti saluran kemasukan yang sah,”menurut kenyataan itu.

Kementerian sentiasa terbuka kepada kritikan yang membina dan berasaskan fakta, namun, sebarang tuduhan yang boleh menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan tinggi negara mestilah disertakan dengan bukti yang kukuh.

KPT turut menegaskan bahawa ini bukan kali pertama tuduhan seumpama itu dilemparkan oleh Dr. Haim Hilman terhadap kementerian berkenaan.

Sehubungan itu, KPT berkata pihaknya sedang meneliti tindakan perundangan yang bersesuaian bagi mempertahankan integriti kementerian, Universiti Awam dan sistem pendidikan tinggi negara daripada fitnah serta tuduhan yang tidak berasas.

“KPT tidak akan membenarkan sebarang pihak melemparkan tuduhan yang mencemarkan nama baik institusi pendidikan negara tanpa bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuat,” menurut kenyataan itu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here