PUTRAJAYA: Penyanyi Ewal memilih untuk tidak melayan kecaman netizen yang mempertikai atau mengkritik perjalanan kumpulan Kristal.
Memetik laporan Berita Harian, Ewal atau nama sebenar, Ikhwal Hafiz Ismail, 34, percaya setiap komen negatif yang dilontar hanya mencerminkan mentaliti individu terbabit dan tidak memberi sebarang kesan kepada kumpulan itu.
Menurutnya, sepanjang enam tahun aktif membuat persembahan bersama Kristal, dia tidak pernah berdepan situasi penonton menolak kehadiran band Itu atau mempertikaikan persembahan secara terbuka.
“Saya tidak pernah balas walaupun satu komen negatif kerana bagi saya, kita sudah tahu tahap mentaliti orang yang menulis komen seperti itu. Orang yang mempunyai mentaliti baik tidak akan bersikap sedemikian.
“Kadang-kadang, mereka yang memberi komen itu pun belum tentu pernah datang menyaksikan persembahan kami secara berdepan.
“Sepanjang enam tahun saya membuat persembahan di karnival dan pelbagai acara lain, tidak pernah ada orang menyuruh saya turun pentas atau mencemuh saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media Karnival Jelajah Dasar Peluang Kedua Insolvensi di Jabatan Undang-Undang Malaysia di sini, semalam.
Ewal berkata, setiap kali mementaskan persembahan, mereka sentiasa menerima reaksi positif daripada penonton, sekali gus membuktikan karya yang dibawakan masih diterima ramai.
“Selalunya, penonton memberikan reaksi yang baik dan terhibur setiap kali kami membuat persembahan.
“Ini bermakna persembahan yang kami sajikan meninggalkan kesan positif kepada mereka,” katanya.
Mengulas keserasiannya dengan gitaris utama Kristal, Rody, Ewal berkata dia tidak berdepan masalah kerana hubungan mereka sudah terjalin sejak usia muda.
Katanya, pengalaman berkongsi pentas dan membuat persembahan bersama sejak kecil menjadikan mereka lebih memahami antara satu sama lain, selain memudahkan proses penyesuaian apabila dia memikul tanggungjawab sebagai vokalis utama.
“Sejak usia saya 12 tahun, kami sudah berkongsi pentas dan membuat persembahan bersama.
“Jadi, apabila diberi tanggungjawab sebagai penyanyi utama, saya sebenarnya sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk menerima apa sahaja, sama ada pujian mahupun tomahan daripada orang ramai.
“Sebagai penyanyi, kita tahu kemampuan dan bakat diri sendiri. Dalam industri ini, setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
“Saya hanya fokus untuk terus melangkah ke hadapan. Alhamdulillah, kami sudah enam tahun bersama dalam Kristal,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






