Home Buletin Semasa KPDN PASIR MAS SERBU STOR TRANSIT HARAM SIMPAN PETROL

KPDN PASIR MAS SERBU STOR TRANSIT HARAM SIMPAN PETROL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PASIR MAS: Sebuah stor transit sementara yang dipercayai digunakan untuk menyimpan petrol sebelum diseludup ke negara jiran diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Pasir Mas dalam satu operasi tengah hari kelmarin.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail memaklumkan dalam serbuan menerusi Ops Tiris kira-kira jam 1.30 petang di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang itu, pihak KPDN merampas sebanyak 120 liter petrol bersubsidi yang disimpan secara haram di premis berkenaan.

“Turut ditemui dalam operasi tersebut adalah beberapa tong jerikin berisi petrol, satu unit alat timbang sukat, dan satu unit pam penyedut yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemindahan petrol secara tidak sah,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Azman tiada individu yang tampil mengaku sebagai pemilik barang-barang rampasan terbabit, manakala semua peralatan serta petrol disita untuk siasatan lanjut.

“Premis ini dipercayai dijadikan stor transit sementara sebelum petrol dibawa ke sempadan dan diseludup ke negara jiran,” katanya.

Beliau berkata jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM346.00 dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here