Home Buletin Semasa KPDN PANTAU AKTIVITI SCAM MINYAK MASAK DALAM TALIAN

KPDN PANTAU AKTIVITI SCAM MINYAK MASAK DALAM TALIAN

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ambil serius berkaitan sindiket penipuan (scam) dalam talian yang menawarkan minyak masak paket.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa (KPDN), Datuk Azman Adam, dalam satu kenyataan berkata, modus operandi aktiviti scam penjualan minyak masak adalah dengan memperdaya mangsa dengan menggunakan laman media sosial atau pasar dalam talian.

“Sejak kebelakangan ini pihak kami sering menerima aduan daripada pengguna berkaitan sindiket scam yang menawarkan minyak masak paket.


“Sindiket dikesan menawarkan minyak masak untuk dijual dan terdapat iklan umpanan dengan menawarkan dengan harga yang lebih murah dari pasaran memandangkan barangan tersebut mendapat permintaan yang tinggi.

“Penjualan dilakukan samada melalui laman sosial atau tapak pasar dalam talian bertujuan memperdaya mangsa untuk mendapatkan bekalan dan turut dikesan menawarkan dengan harga yang lebih murah,” katanya dalam satu kenyataan.

KPDN telah menumpukan usaha berterusan memantau aktiviti penjualan minyak masak dalam talian dengan menubuhkan unit khas di Bahagian Penguat Kuasa bagi tugasan pemantauan aktiviti tersebut.

Unit tersebut akan menjalankan pemantauan dan menganalisis data berkaitan bagi tujuan penguatkuasaan.

KPDN juga telah bekerjasama dengan pengendali tapak pasar secara dalam talian dalam negara bagi memastikan aktiviti scammer serta penyelewengan minyak masak yang dilakukan secara dalam talian itu dapat diatasi dengan lebih berkesan.

Hasilnya, sebanyak 198 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian telah dinyahturun (content removal) dalam tempoh yang sama.

KPDN memberi amaran keras kepada semua pihak yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah dikuatkuasakan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi termasuk yang dijual secara dalam talian.

Pada tahun 2024, satu tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 hasil tindakan proaktif yang dilaksanakan telah diambil pada 9 Januari 2024 kerana berurusniaga barang kawalan tanpa lesen yang sah.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 4 Julai 2022 sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 62 pemeriksaan fizikal telah dilakukan di seluruh negara manakala sebanyak 11 aduan yang berkaitan telah diterima dalam tempoh yang sama.

Daripada jumlah itu, sebanyak tiga tindakan kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] telah diambil dan disiasat ke atas pihak yang terlibat yang melakukan kesalahan berkaitan penjualan minyak masak secara dalam talian.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah berurusniaga barang kawalan berjadual iaitu minyak masak tanpa lesen yang sah dan menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan.

Pengguna juga dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam melihat tawaran iklan pembelian minyak masak paket murah yang dipaparkan kerana keadaan ini memberikan kelebihan kepada scammer untuk memperdaya mangsa-mangsa mereka.

Tindakan pantas sekiranya masyarakat pengguna mengesan aktiviti sebegini adalah dengan menyalurkan pertanyaan dan aduan kepada KPDN. – KPDN –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here