Home Hiburan KOTAK JANJI GEMPAK

KOTAK JANJI GEMPAK

279
0

Masih terus memiliki peminat di Malaysia, kumpulan Kotak dari Indonesia sentiasa teruja untuk mengadakan persembahan di sini. Apalagi mereka sudah lama tidak adakan konsert di negara ini.

Memetik laporan Harian Metro, selepas lebih tujuh tahun, penantian mereka akhirnya terlerai apabila bakal menjayakan konsert di ITCC Penampang, Sabah pada 14 Jun depan. Mereka nyata tidak sabar hiburkan peminat di sebelah sana.

Bahkan, mereka mengintai peluang sekiranya dapat bekerjasama dengan artis tempatan Sabah pada acara itu. Vokalisnya Tantri teringin impian itu jadi kenyataan.

“Kalau boleh kami mahu berkolaborasi bersama penyanyi Sabah, sama ada kami menyanyikan lagu mereka atau mereka menyanyikan lagu Kotak,” kata Tantri menerusi temu bual secara Zoom baru-baru ini.

Istimewanya lagi, penampilan terbabit juga bersempena sambutan dua dekad kumpulan rock yang cukup popular dengan lagu Energi dalam dunia muzik Indonesia itu.

Justeru, Kotak berjanji menghadiahkan persembahan yang benar-benar mampu tinggalkan impak besar. Malah janjikan yang lebih hebat berbeza dengan mereka tunjukkan depan peminat negara sendiri.

“Kami akan tampilkan ‘treatment’ yang tidak pernah dibawa di Indonesia. Kami akan membawakan lagu nostalgia dan lagu baru.

“Tidak sekadar persembahan nyanyian semata-mata, kami juga mahu memberi kesan emosi kepada penonton melalui visual yang bakal dipaparkan pada skrin malam itu.

“Susunan muzik juga diberikan nafas baru dan lebih segar, supaya peminat berpuas hati dengan persembahan kami nanti,” katanya.

Tantri mengakui, mereka mencari peluang undangan mengadakan persembahan di sini sejak pandemik Covid-19 kian reda sebelum ini.

Namun, baru kini mereka mendapat peluang itu. Menurutnya, dia masih ingat betapa terharunya mereka dengan kenangan peminat memeluk sambil menangis dan berharap mereka kembali.

“Selepas pandemik, ramai peminat di Malaysia yang bertanya bila kami mahu ke sana dan baru sekarang berjodohan. Bila melihat peminat Kotak menangis ketika persembahan kami sebelum ini, itu yang menguatkan lagi keinginan kami untuk kembali,” katanya.

Konsert anjuran Show Connects itu nanti turut menampilkan Ello atau Marcello Tahitoe yang juga meraikan ulang tahun ke-20 dalam industri seni. Kotak dan Ello digabungkan khas buat peminat di Sabah.

Dalam pada itu, Kotak bersyukur biarpun tidak lagi bernaung di bawah mana-mana label, kehadiran mereka dalam dunia muzik masih kekal relevan.

Kotak juga mengakui tidak pernah merasa tercabar dengan kehadiran banyak band dan penyanyi baru, tidak cuba bersaing dengan mereka, sebaliknya Kotak terus berkarya mengikut selera muzik tersendiri.

“Dulu Kotak bergerak secara konvensional di bawah label, tapi kini kami bergerak sendiri. Jadi, kami perlu kukuhkan nama melalui media sosial. Itu adalah cara kami dekatkan diri dengan peminat,” akhiri Tantri.-HMetro Online- 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here