Home Buletin Semasa KOSMETIK MURAH TIMBANG KILO UNDANG RISIKO KESIHATAN KULT – JKN KELANTAN

KOSMETIK MURAH TIMBANG KILO UNDANG RISIKO KESIHATAN KULT – JKN KELANTAN

153
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Penjualan kosmetik secara timbang kilo dikenal pasti mengundang risiko serius terhadap kesihatan kulit, khususnya apabila produk berkenaan dijual tanpa notifikasi dan pelabelan lengkap, kata Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan, Datuk Dr Mohd Azman Yacob berkata, kecenderungan pengguna membeli produk kosmetik murah serta keinginan untuk tampil cantik menjadi antara faktor utama penjualan kosmetik tidak bernotifikasi terus berleluasa di negeri ini.

“Penggunaan kosmetik timbang kilo yang tidak diketahui kandungan bahan boleh merosakkan fungsi perlindungan semula jadi kulit, selain meningkatkan risiko masalah kesihatan jangka panjang.

“Pengguna sering membeli tanpa menyedari risiko sebenar produk ini yang bukan sahaja boleh merosakkan kulit dan sel badan, malah menjejaskan mekanisme perlindungan kulit terhadap rangsangan luaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Program Sihat Itu Saya di Gelanggang Tenis Padang Perdana, di sini, hari ini.

Dr. Mohd Azman berkata, JKN Kelantan memandang serius isu penjualan kosmetik timbang kilo dan sentiasa mempergiatkan penguatkuasaan serta pemantauan, termasuk menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi membendung penjualan produk kosmetik berisiko di negeri ini.

Menurutnya, kebanyakan kosmetik timbang kilo tidak mematuhi keperluan pelabelan seperti maklumat kandungan bahan, nombor notifikasi, tarikh luput serta butiran pengilang sebagaimana yang ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya berdasarkan statistik rampasan, sebanyak 2,055 item kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM55,213 dirampas sepanjang tahun lalu, manakala 66 item bernilai RM1,060 dirampas bagi tempoh tahun ini sehingga 31 Januari.

Beliau turut memaklumkan bahawa aktiviti penjualan kosmetik timbang kilo lazimnya meningkat menjelang musim perayaan, khususnya melalui gerai sementara di tepi jalan dan hadapan premis perniagaan yang menawarkan produk kecantikan pada harga murah.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here