TOKYO: Jepun hari ini berkata mereka sedang bersiap sedia berdepan tindakan Korea Utara untuk melancarkan apa yang disifatkan Pyongyang sebagai satelit, namun Tokyo percaya ia mungkin peluru berpandu balistik.
Jurucakap pengawal pantai memberitahu AFP, Pyongyang memaklumkan kepada pengawal pantai Jepun bahawa roket akan dilancarkan antara 31 Mei dan 11 Jun, yang dijangka jatuh di perairan berhampiran Laut Kuning, Laut China Timur dan timur Pulau Luzon di Filipina.
Bagaimanapun, pejabat perdana menteri dalam satu ciapan, berkata Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, mengeluarkan arahan ‘mengenai pemberitahuan Korea Utara berhubung pelancaran peluru berpandu balistik yang disifatkan sebagai satelit’.
Beliau memberitahu pegawai supaya mengumpul risikan, kekal berwaspada dan berhubungan rapat dengan sekutu, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.
Kementerian Pertahanan Jepun turut mengeluarkan arahan kepada Pasukan Pertahanan Diri Udara untuk memusnahkan mana-mana peluru berpandu balistik yang disahkan akan jatuh dalam wilayah negara itu.
Kementerian itu berkata, tentera akan diberi kuasa untuk menggunakan Peluru Berpandu Standard SM-3 dan Peluru Berpandu Patriot PAC-3 untuk menembak jatuh peluru di udara.

“Walaupun ia digambarkan sebagai satelit, pelancaran menggunakan teknologi peluru berpandu balistik akan menjadi pelanggaran resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan masalah serius yang mengancam keselamatan orang ramai,” kata Kishida kepada pemberita.
Pyongyang meningkatkan pelancaran peluru berpandunya sejak beberapa bulan lalu, dengan beberapa peluru mencetuskan sistem amaran kecemasan di beberapa bahagian di Jepun.
Seoul dan Tokyo sedang berusaha untuk memperbaiki hubungan yang sudah lama terjalin, termasuk dengan kerjasama lebih besar bagi berdepan ancaman ketenteraan Korea Utara.
Ditanya mengenai kemungkinan rundingan dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, Kishida mengulangi pendirian bahawa Tokyo terbuka untuk perbincangan dan beliau berminat untuk kemajuan yang konkrit.
Sementara itu, media Korea Utara menyiarkan kenyataan daripada naib menteri luar negaranya, Pak Sang-gil, yang menunjukkan sokongan kepada pendekatan berdamai terhadap hubungan dengan Jepun, satu pendirian luar biasa dari Pyongyang.
“Jika Jepun mengelak ‘dibelenggu pendirian masa lalu’ dan mencari jalan keluar untuk memperbaiki hubungan, tidak ada sebab untuk Korea Utara dan Jepun tidak bertemu,” katanya.
Sumber BH Online
Sumber AFP
Imedikel TV





