Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Seorang lelaki warga asing maut manakala lapan lagi cedera selepas sebuah Proton X70 yang membawa lapan penumpang terbabas dan hampir masuk ke dalam gaung selepas bertembung dengan sebuah Toyota Hilux di Kampung Lepan Jaya, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu Toyota Hilux berkenaan turut terbabas di jalan, bagaimanapun pemandu tersebut dilaporkan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Muhammad Azrul Izzham Zulkifli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang digerakkan ke lokasi.
“Pasukan bomba tiba pada jam 10.49 pagi dan mendapati seorang mangsa lelaki warga asing yang adalah penumpang Proton X70 tersepit di dalam kenderaan.
“Komander Operasi kemudian mengarahkan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas hydraulic cutter bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.
Beliau ketika dihubungi kru IMedikel TV berkata pihaknya berjaya mengeluarkan mangsa selepas 15 minit dan diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Lapan lagi mangsa yang terdiri daripada pemandu dan penumpang Proton X70 mengalami kecederaan, manakala pemandu Toyota Hilux dilaporkan selamat,”katanya.
Kesemua mangsa yang terlibat diserahkan kepada pihak polis dan KKM untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang membabitkan 11 anggota BBP Gua Musang itu turut menjalankan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 pagi.
Operasi berkenaan menggunakan sebuah Light Fire Rescue Tender (LFRT), sebuah Compact Fire and Rescue Tender (CFRT) dan sebuah kenderaan Hilux 4×4.
IMedikel TV






