Home Buletin Semasa DUA RUMAH MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI KOTA JEMBAL

DUA RUMAH MUSNAH DALAM KEBAKARAN DI KOTA JEMBAL

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua rumah kediaman jenis sementara musnah kira-kira 90 peratus dalam kebakaran di Jalan Long Sulaiman, Kedai Lalat, Kota Jembal, Pengkalan Chepa, awal pagi tadi.

Dalam kejadian awal pagi itu, kebakaran turut memusnahkan dua kenderaan iaitu sebuah Proton Wira dan Proton Iswara.

Komander Operasi, Mohd Faizol Hisam Abdullah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 sebelum mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa serta BBP Kota Bharu ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 5.31 pagi dan mendapati kebakaran membabitkan dua unit rumah sementara, masing-masing berkeluasan 16 x 20 kaki persegi.

“Kebakaran dilaporkan berjaya dikawal pada jam 6.15 pagi, manakala operasi pemadaman dan pemeriksaan masih dijalankan,” katanya.

Katanya seramai 19 anggota bomba terbabit dalam operasi berkenaan, membabitkan 10 anggota dari BBP Pengkalan Chepa dan sembilan anggota dari BBP Kota Bharu, dengan bantuan dua jentera FRT, dua lori tangki air serta sebuah Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Sementara itu, Mohd Faizol Hisam ketika dihubungi kru IMedikel TV berkata punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Forensik Bomba.

“Jumlah kerugian juga belum dapat dinyatakan kerana masih menunggu laporan lengkap daripada unit siasatan bomba,” katanya. 

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here