Home Buletin Semasa BEKAS EXCO DATUK ZAHARI DILANTIK SPEAKER DUN JOHOR, TIMBALAN SPEAKER KEKAL

BEKAS EXCO DATUK ZAHARI DILANTIK SPEAKER DUN JOHOR, TIMBALAN SPEAKER KEKAL

Oleh: Wartawan IMedikel TV

ISKANDAR PUTERI: Seramai 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Pertama bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Majlis angkat sumpah di hadapan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang baharu dilantik, Datuk Zahari Sarip (BN-Buloh Kasap), didahului Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Machap), sebelum diikuti 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

Majlis itu kemudiannya diteruskan dengan semua ADUN Johor mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

Pelantikan Zahari (BN-Buloh Kasap) dibuat selepas namanya dicadangkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi (BN-Machap).

Onn Hafiz hanya mengemukakan satu nama bagi jawatan Speaker DUN Johor dan mendapat sokongan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor (BN-Bukit Permai).

Zahari, 59, menggantikan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang memegang jawatan Speaker sejak 2022 selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15.

Mohd Puad yang juga bekas ADUN Rengit dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebelum ini mengumumkan keluar daripada parti itu pada 25 Jun lalu.

Sementara itu, Zahari ketika berucap selepas secara rasmi dilantik sebagai Speaker dan dipakaikan pakaian rasmi, merakamkan penghargaan atas kepercayaan yang diberikan Menteri Besar kepadanya.

Beliau berkata, pemilihan berkenaan merupakan satu penghormatan kepada dirinya dan akan dipikul dengan penuh bersungguh-sungguh dan dedikasi.

“Saya akan melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaiknya. Saya dan kesemua ADUN merakamkan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kepada Speaker dan Timbalan Speaker sebelum ini, iaitu Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Datuk Samsolbari Jamali,”katanya.

Sebaik sahaja selesai istiadat angkat sumpah, Datuk Samsolbari Jamali (BN-Semarang) dilantik semula sebagai Timbalan Speaker DUN Johor bagi penggal kedua.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang berlangsung Julai lalu, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi.

Keputusan itu menyaksikan BN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti besar bagi meneruskan pentadbiran Johor untuk penggal baharu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here