Alor Setar, KEDAH: Penemuan tangki tambahan di bawah sebuah lori yang sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak di Lebuhraya Sultan Abdul Halim di sini semalam, membongkar kegiatan penyelewengan bahan api itu.
Berikutan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang juga pemandu lori berkenaan dan kes diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah untuk siasatan lanjut.
Pengarah KPDN Kedah, Affendi Rajini Kanth, berkata pihaknya menerima serahan kes itu pada jam 1.30 petang semalam dan siasatan masih dijalankan.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, hasil pemeriksaan terhadap lori berkenaan menemui tangki tambahan yang diisi minyak diesel dalam anggaran 1,500 liter.
“Minyak diesel berkenaan yang disita itu dianggarkan 1,500 liter dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM3,255.
“Lori bernombor pendaftaran tempatan itu turut disita bagi tujuan siasatan lanjut dan anggaran jumlah rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM9,255.00.
“Pihak kami sedang menyiasat sama ada minyak diesel berkenaan cuba untuk diseludup ke negara jiran atau sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Affendi berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dibaca bersama
Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Beliau berkata, siasatan juga dilakukan terhadap stesen minyak berkenaan di bawah Peraturan 21 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Sumber BH Online
Imedikel TV






