LONDON: Kapten England, Harry Kane sudah pulih daripada kecederaan belakang dan sedia beraksi untuk Kejuaraan Eropah, kata pengendali The Three Lions, Gareth Southgate.
Penyerang Bayern Munich itu terlepas dua aksi terakhir Bundesliga akibat masalah di bahagian belakang yang dihadapinya sejak kekalahan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah di tangan Real Madrid dua minggu lalu.
Bagaimanapun Southgate menyenaraikan penyerang 30 tahun itu dalam skuad awalnya untuk kejohanan yang akan berlangsung dari 14 Jun hingga 14 Julai ini di Jerman.
“Kane sudah pulih sekarang. Saya rasa keputusan tepat diambil untuk tidak menurunkannya pada perlawanan terakhir di sana.
“Kecederaan belakang boleh berlaku, tetapi ia bukan sesuatu yang kami risaukan ketika ini. Kami difahamkan yang ia bukan lagi satu masalah buatnya,” kata Southgate.
Kane meledak 44 gol dalam 45 penampilan di semua pertandingan pada musim pertamanya bersama gergasi Jerman itu, termasuk empat hatrik dalam saingan Bundesliga.
Bagaimanapun ia masih tidak mampu untuk menjelmakan trofi buat Bayern, kali pertama mereka gagal memenangi kejuaraan sejak tahun 2012.
“Ia tidak bagus untuknya dan saya pasti dia sedar dengan apa yang orang akan katakan terhadapnya.
“Dia sudah melunaskan tugasnya sebagai penjaring dalam liga berkenaan dan saya pasti kelab sangat gembira dengan sumbangannya,” tambah Southgate.
England akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan – menentang Bosnia pada 3 Jun di St. James’ Park dan Iceland pada 7 Jun di Wembley – sebelum berangkat ke Euro.
England diletakkan dalam Kumpulan C bersama Serbia, Denmark dan Slovenia. – REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






