Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan lemas di Pantai Kemayang, di sini, ditemui hari ini di Pantai Cherang Laut pada jarak 1.5 kilometer (km) dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd Azrie Sulaiman, berkata mayat kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk bedah siasat.
“Mangsa ditemui kira-kira jam 10.45 pagi tadi pada jarak 1.5km menghala ke Pantai Senok. Jenazah sudah disahkan oleh keluarga dan dihantar ke HPUSM untuk bedah siasat.
“Mayat mangsa ditemui terapung oleh orang awam di pinggir Pantai Cherang Laut,”katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.
Sementara itu, bapa mangsa Mohd Afendi Ya, 44, ketika ditemui berkata dia tidak sempat mencapai tangan anaknya, Muhamad Irfan,9, kerana kejadian itu berlaku sangat pantas.
“Ketika dia mandi keadaan air masih biasa, namun kira-kira jam 6 petang kami hendak pulang, air pasang sedang bermula.
“Waktu itu saya nampak dia semakin lama semakin ke belakang. Saya sempat memanggil anak saya sebelum turun untuk menyelamatkannya.
“Namun malangnya saya tidak sempat mencapai tangan anak saya,’katanya.
Mohd Afendi berkata anaknya Muhamad Irfan teruja dan gembira kerana berpeluang ke pantai semalam, namun takdir tidak berkata demikian.
“Dari minggu lepas saya berjanji untuk membawa dia dan keluarga ke pantai, semalam saya melihat dia gembira kerana dapat bermain di pantai, katanya.
Dalam kejadian jam 6.40 petang semalam, Muhamad Irfan ke pantai bersama ibubapanya, Mohd Afendi dan Kartini Mahmood, 44, serta adiknya, Muhd Hadif, 6, sebelum dilaporkan lemas.
IMedikel TV sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dilaporkan lemas ketika berada di Pantai Kemayang, di sini, petang semalam.
IMedikel TV






