KUALA LUMPUR: Perunding kewangan, Mickey Ayo, akhirnya tampil menjelaskan bagaimana bermulanya perkenalannya dengan pelakon popular, Nora Danish, sekali gus menepis dakwaan netizen kononnya hubungan mereka tercetus melalui media sosial.
Memetik laporan Berita Harian, Mickey berkata, dakwaan mengatakan mereka saling berbalas mesej dan berkenalan di Instagram (IG) adalah tidak benar sama sekali.
“Macam mana saya kenal Nora? Yang pasti bukan melalui Instagram. Kami memang tak pernah pun saling mengikuti di media sosial.
“Saya bergurau apabila cakap saya block Nora. Hakikatnya, tiada siapa block sesiapa. Itu cuma gurauan,” katanya menerusi TikTok.
Mengulas lanjut, duda dua anak itu berkata, perkenalan mereka tercetus secara biasa ketika keluar makan beramai-ramai bersama rakan.
”Kami berkenalan melalui kawan. Ketika itu, kami keluar makan bersama ramai kawan-kawan. Dari situlah kami mula saling mengenali.
“Apa-apa pun, saya doakan yang baik-baik,” ungkap Mickey
Menjawab pertanyaan netizen mengenai sikap Nora, Mickey secara berseloroh menggambarkan pelakon telefilem Saling Tak Terlihat itu itu sebagai seorang wanita yang kuat.
“Dia tak kuat merajuk. Dia ada hati yang keras, ‘heart of steel’,” katanya.
Kenyataan Mickey itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-rata terhibur serta tidak kurang yang memberi restu sekiranya benar mereka menjalin hubungan.
Terdahulu, nama Nora kembali menjadi perhatian selepas memuat naik foto seorang lelaki berkopiah putih, sekali gus menimbulkan teka-teki mengenai status hatinya.
Spekulasi semakin hangat apabila tular kad jemputan memaparkan huruf ‘M’ dan ‘N’ beserta tarikh 8 September 2025, sekali gus menimbulkan dakwaan bahawa pelakon itu bakal mendirikan rumah tangga.
Namun Nora menafikan perkara tersebut dan menjelaskan tiada apa-apa perancangan seperti yang disangka ramai.
Untuk rekod, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, pernah mendirikan rumah tangga dengan Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum bercerai pada 19 Jun 2024. Mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 7.
Sebelum itu, Nora turut berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada 2006 dan berpisah pada 2008. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Putra Rayqal, 17. – BH Online –
IMedikel TV






