Home Buletin Semasa JSJN DALAM PROSES TAMBAH ANGGOTA DI NEGERI SEMPADAN NEGARA, BANTERAS SINDIKET PENGEDARAN...

JSJN DALAM PROSES TAMBAH ANGGOTA DI NEGERI SEMPADAN NEGARA, BANTERAS SINDIKET PENGEDARAN DADAH

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dalam proses untuk menambah keanggotaan khususnya di negeri berdekatan sempadan negara bagi membanteras sindiket pengedaran dadah.

Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penambahan itu bukan sahaja di Kelantan, malah Kedah dan Perlis juga akan termasuk memandangkan negeri itu juga berdekatan sempadan negara.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang dalam proses untuk menambah anggota bagi JSJN untuk meningkatkan atau memantapkan lagi pengoperasian jabatan ini dalam membanteras sindiket pengedaran dadah.

“Jadi sekiranya ada penambahan jawatan, memang dalam usaha dan dalam tindakan, ia bukan sahaja di Kelantan, tetapi juga di negeri lain terutama negeri Utara kerana kita nampak sindiket ini tidak akan berputus asa, mereka akan menggunakan pelbagai kaedah walaupun ada kesan melalui penyeludupan itu,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, pihaknya berjaya menumpaskan sebanyak 62 kes penyeludupan dadah berskala besar di sempadan negara iaitu Perlis, Kedah dan Kelantan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 15 kes yang berjaya ditumpaskan di Kelantan.

”Namun, sindiket ini masih lagi licik nak membawa masuk dadah daripada negeri Utara, walaubagaimanapun JSJN akan tetap menghalang, menangkap dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here