Home Sukan JOSELU BAWA REAL MADRID KE WEMBLEY

JOSELU BAWA REAL MADRID KE WEMBLEY

186
0

MADRID: Real Madrid mencetus kebangkitan menakjubkan menentang Bayern Munich untuk layak ke final Liga Juara-Juara awal pagi tadi dengan Joselu meledak dua gol pada minit-minit akhir, meraih kemenangan 2-1 sekali gus mara 4-3 secara agregat.

Alphonso Davies membantu kelab pelawat dari Jerman itu mendahului pada babak kedua namun pemenang rekod 14 kali Madrid menghasilkan kebangkitan sensasi dengan Joselu menyumbat gol pada minit ke-88 dan 91.

Juara Sepanyol, Real Madrid bedepan satu lagi pasukan Jerman, Borussia Dortmund pada final di Wembley 1 Jun ini, selepas mereka mengejutkan pasukan yang digelar mereka “binatang hitam.”

Penyerang yang kerap berpindah dari kelab ke kelab dan pilihan kedua, Joselu, yang tampil sebagai pemain gantian, mencatat namanya dalam sejarah Madrid dengan dua gol lewat, memberikan jaguh kebangkitan Eropah itu satu lagi malam yang boleh dikenang.

“Ada banyak ketika kami kelihatan mati dan berkubur, tetapi kami mempunyai mentaliti tidak berputus asa,” kata pemain tengah Real, Jude Bellingham.

“Joselu berhak mendapat pujian, dia antara pemain skuad yang menakjubkan musim ini.”

Madrid lebih banyak menguasai perlawanan tetapi jaringan memukau Davies dilihat mencetus ulangan final sesama kelab Jerman pada 2013 di London.

Sebaliknya Joselu menghukum Bayern dengan musim tanpa trofi buat kali pertama sejak 2012, gol pertamanya hadir selepas kesilapan penjaga gol Bayern, Manuel Neuer, yang bertindak cemerlang mengekang asakan Madrid sebelum itu.

“Sebelum itu ada banyak tindakan penyelamat bertaraf dunia diikuti penyelamat bertaraf dunia, tetapi ia boleh berlaku, inilah bola sepak,” kata pertahanan Bayern, Matthijs de Ligt.

Bayern kelihatan berang sejurus wisel penamat selepas De Ligt meledak gol tetapi permainan dihenti sebelum itu kerana ofsaid membabitkan pemain pertahanan Noussair Mazraoui.

“Saya tidak mahu menyatakan sering kali ada kesilapan pengadil dengan Real Madrid, tetapi ia menjadi perbezaan hari ini,” kata De Ligt, menambah permainan patut diteruskan.

– AFP,BH Online –

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here