Home Buletin Semasa JKNK PERLU 150 BEG DARAH SETIAP HARI

JKNK PERLU 150 BEG DARAH SETIAP HARI

178
0

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) memerlukan 100 hingga 150 beg darah setiap hari untuk menampung keperluan hospital di seluruh negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pihaknya tiada masalah dari segi bekalan darah kerana mempunyai penderma yang konsisten dan kesinambungan dalam menderma darah.

“Hospital ini memerlukan penderma yang konsisten untuk pastikan kesinambungan darah dan bekalan kami alhamdulillah setakat ini tidak mempunyai masalah kerana kita mempunyai penderma darah.

“Jadi seperti yang kita sedia maklum bahawa Kelantan mempunyai sembilan hospital, iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ) dan daerah lain kecuali Bachok.

“Kita ada lebih daripada 30,000 penderma darah pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024, di KB Mall, di sini, semalam.

Dr Zaini berkata, sebanyak 16,909 adalah penderma daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II, manakala 10, 674 lagi daripada seluruh hospital daerah di negeri ini.

Katanya, pihak JKNK turut membantu hospital di negeri luar sekiranya mereka memerlukan bekalan darah.

“Sekiranya kita mempunyai kekurangan kita mendapat bantuan daripada negeri lain. Dan sama juga kita membantu negeri lain sekiranya mereka memerlukan darah daripada stor ataupun bekalan daripada kita di negeri ini.

“Kita lihat kecenderungan rakyat Kelantan untuk menderma darah akan meningkat bukan sahaja di kalangan lelaki tetapi juga di kalangan wanita. Jadi ini merupakan satu petanda yang baik untuk penderma di Kelantan. Saya juga ingin menyeru terutamanya belia remaja kita untuk tampil menderma darah kerana mereka inilah yang akan menjadi pelapis,” katanya.

Tambahnya, majlis tersebut bertujuan untuk menghargai sumbangan penderma dalam membantu tabung darah di seluruh Kelantan selain mewujudkan kesedaran untuk menderma darah secara konsisten tanpa mendapat bayaran.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad merasmikan majlis tersebut.

Imedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here